Mengapa soalan ini penting?
Insufisiensi konvergens adalah gangguan penglihatan lazim di mana mata seseorang cenderung untuk mencapah ke luar ketika mereka berusaha menggunakan mata dari dekat. Ini boleh menyebabkan ketegangan mata, sakit kepala, kabur dan penglihatan berganda. Ketika membaca, orang dengan insufisiensi konvergens sering hilang tumpuan atau terpaksa membaca semula teks.
Terdapat dua jenis rawatan utama insufisiensi konvergens: 1) kacamata baca berprisma, direka untuk memperbaik keselesaan visual, dan 2) terapi mata (penglihatan) yang direka untuk mengembalikan fungsi visual normal dan memperbaik keselesaan visual.
Pelbagai jenis terapi penglihatan dipreskrib untuk rawatan insufisiensi konvergens yang bertujuan untuk memperbaik kemampuan konvergens seseorang yang terjejas (kemampuan mata untuk menumpu ke bahagian dalam). Rawatan boleh dilakukan sendiri di rumah dengan hanya menggunakan pensil (‘push-up’ pensil ) atau program perisian komputer (terapi komputer dari rumah). Secara alternatif, ia boleh terdiri daripada susunan aktiviti-aktiviti yang dipreskrib secara individu dan dipantau oleh doktor, dikendali oleh ahli terapi terlatih di persekitaran pejabat bersama latihan di rumah (terapi berasaskan pejabat dengan pengukuhan di rumah).
Kami mengulas bukti dari kajian-kajian penyelidikan untuk membandingkan keberkesanan pelbagai rawatan (cermin mata baca prisma, terapi berasakan pejabat dengan pengukuhan di rumah, dan rawatan di rumah), dan juga untuk menentukan sama ada rawatan tersebut berkait dengan kesan buruk (tidak diingini) .
Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?
Pertama, kami mencari literatur perubatan untuk kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan). Kajian jenis ini memberi bukti yang paling kuat tentang kesan-kesan sesuatu rawatan. Kami bandingkan keputusan-keputusan, dan meringkaskan bukti dari semua kajian-kajian tersebut. Akhirnya, kami menilai tahap kepastian bukti tersebut dengan mempertimbang faktor-faktor seperti cara kajian dijalankan, bilangan orang dalam kajian-kajian, dan konsistensi penemuan seluruh kajian-kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami telah mengkategorikan bukti tersebut sebagai kepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 12 kajian dengan sejumlah 1289 orang dengan insufisiensi konvergens. Enam kajian telah dilakukan dalam kalangan kanak-kanak berusia tujuh hingga 18 tahun, lima kajian dalam kalangan orang dewasa muda berusia 15 hingga 40 tahun, dan satu kajian dalam kalangan dewasa berumur 40 tahun ke atas. Kajian-kajian berlangsung antara enam minggu hingga enam bulan.
Keputusan dalam kanak-kanak
Untuk memperbaik kemampuan konvergens, bukti kepastian tinggi menunjukkan terapi berasaskan pejabat dengan pengukuhan di rumah lebih baik berbanding plasebo, terapi komputer di rumah, dan ‘push-up’ pensil di rumah.
Untuk memperbaik kemampuan konvergens serta gejala-gejala yang dilapor oleh kanak-kanak (seperti sakit kepala atau kerap kehilangan tumpuan apabila membaca), bukti kepastian rendah hingga sederhana menunjukkan terapi berasaskan pejabat dengan pengukuhan di rumah lebih baik berbanding plasebo,terapi komputer di rumah, dan ‘push-up’ pensil di rumah.
Adalah tidak jelas (bukti kepastian rendah hingga sederhana) sama ada terdapat perbezaan untuk memperbaik konvergens sahaja, atau konvergens beserta gejala seperti yang dilapor oleh kanak-kanak, di antara terapi komputer di rumah dan ‘push-up’ pensil di rumah, ataupun di antara dua rawatan di rumah ini dan plasebo.
Satu kajian membandingkan kacamata baca prisma dengan kacamata baca plasebo, dan mendapati tiada bukti perbezaan pembaikan konvergens atau gejala-gejala.
Keputusan dalam kalangan dewasa
Bukti dari tiga kajian menunjukkan terapi di pejabat mungkin lebih efektif berbanding plasebo untuk memperbaik konvergens apabila diukur dari satu arah ('vergens fusional positif'’), tetapi tidak apabila diukur dengan cara lain ('titik terdekat konvergens'). Tiada perbezaan antara rawatan dalam perubahan gejala yang dilapor dalam kalangan dewasa.
Satu kajian telah membandingkan kacamata dengan lensa prisma dengan kacamata plasebo, dan mendapati orang dewasa dengan kacamata prisma melaporkan kurang gejala. Walau bagaimanapun, tiada bukti perbezaan bagi pembaikan konvergens.
Adakah kesan buruk daripada rawatan?
Tiada kajian dalam kalangan kanak-kanak atau dewasa,yang melaporkan kesan buruk berkaitan rawatan kajian.
Apakah maksudnya?
Bukti kepastian tinggi menunjukkan terapi berasakan pejabat dengan pengukuhan di rumah lebih berkesan berbanding ‘push-up’ pensil di rumah, terapi komputer di rumah, dan plasebo bagi merawat insufisiensi konvergens dalam kalangan anak-anak. Bagi dewasa, kesan perbandingan intervensi-intervensi adalah kurang jelas.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Bukti kajian dalam ulasan Cochrane ini adalah terkini hingga September 2019.
Diterjemah oleh Ammar Al Hakim Bin Mohd Kamil (Pelajar RCSI & UCD Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my