Latar belakang
Secara tradisinya, rawatan piawai bagi orang yang mempunyai oligodendroglioma anaplastik dan oligoastrocytoma anaplastik (tumor otak) adalah pembedahan diikuti dengan radioterapi. Namun, manfaat kemoterapi dan radioterapi tambahan (selepas pembedahan) masih belum jelas. Selain itu, nilai penanda kromosom juga diselidik.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari penulisan saintifik sehingga Mac 2014 untuk kajian orang dewasa yang berumur lebih dari 18 tahun dengan diagnosis oligodendroglioma anaplastik, oligoastrocytoma anaplastik atau astrocytoma anaplastik. Selepas pembedahan, para peserta harus menerima radioterapi sahaja, kemoterapi sahaja atau radioterapi ditambah kemoterapi. Dalam ulasan pertama mengenai topik ini pada tahun 2009, kami menemui dua kajian untuk disertakan. Dalam kemas kini ini, kami mengenal pasti kajian lain untuk disertakan, dan kemas kini dari dua kajian yang disertakan sebelumnya telah dipertimbangkan.
Keputusan utama
Tiga kajian terkawal secara rawak, yang merangkumi 931 peserta, menilai peranan kemoterapi sahaja atau sebagai tambahan kepada radioterapi, atau radioterapi sahaja. Satu kajian dapat menunjukkan manfaat kelangsungan hidup yang signifikan bagi penambahan kemoterapi untuk radioterapi selepas pembedahan, berbanding dengan radioterapi sahaja. Tambahan pula, semasa memeriksa spesimen biopsi tumor otak ini, mereka menemui penghapusan dan mutasi kromosom tertentu dalam dua kajian, yang membantu mengenal pasti sekumpulan peserta dengan hasil kelangsungan hidup yang lebih baik. Selanjutnya, dalam satu kajian, penghapusan dan mutasi kromosom tertentu ini meramalkan kumpulan peserta mana yang mendapat manfaat daripada penambahan kemoterapi ke radioterapi selepas pembedahan.
Kualiti bukti
Bukti untuk memberi radioterapi dan kemoterapi adalah berkualiti, tetapi jarang.
Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungicochrane@rcsiucd.edu.my