Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada probiotik boleh mengekalkan remisi dalam orang dengan kolitis ulseratif. Kami mengumpul dan menganalisis data daripada 12 kajian dengan jumlah 1473 orang bagi menjawab soalan ini.
Mesej utama
Soalan sama ada probiotik boleh mengekalkan remisi dalam orang dengan kolitis ulseratif kekal tidak terjawab. Tiada kesan buruk yang serius apabila probiotik dibandingkan dengan plasebo. Walau bagaimanapun, satu kajian melaporkan bilangan kejadian buruk serius yang sama dalam orang yang menerima probiotik dan mereka yang menerima asid 5-aminosalicylic (5-ASA, ubat antikeradangan yang digunakan untuk merawat kolitis ulseratif dan keadaan yang lain). Maklumat lebih lanjut mengenai apakah kesan buruk yang serius ini, adalah tidak diberikan.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Kolitis ulseratif adalah penyakit kronik usus besar, yang menyebabkan keradangan (bengkak). Beberapa gejala termasuklah sakit perut, cirit-birit dan keletihan. Probiotik adalah organisma mikroskopik hidup yang dipercayai mengubah pertumbuhan bakteria di dalam usus dan mengurangkan keradangan.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami mencari kajian rawak terkawal (RCTs; kajian klinikal yang mana peserta dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) yang membandingkan probiotik dengan plasebo (rawatan palsu), probiotik dengan 5-ASA dan kombinasi probiotik dan 5-ASA dengan 5-ASA. Terdapat 12 RCTs yang melibatkan 1473 peserta. Kajian-kajian tersebut melibatkan lelaki dan wanita dewasa. Hanya tiga kajian menyatakan dengan jelas bahawa peserta tidak dibenarkan mengambil ubat lain di luar daripada apa yang dibandingkan.
1) Tiada perbezaan yang jelas dalam jumlah orang yang mengalami relaps klinikal apabila probiotik dibandingkan dengan plasebo.
2) Juga terdapat tiada perbezaan yang jelas dalam jumlah orang yang mengalami relaps klinikal apabila probiotik dibandingkan dengan 5-ASA.
3) Adalah tidak pasti sama ada probiotik membawa kepada perbezaan dalam jumlah orang yang kekal dalam remisi klinikal berbanding dengan plasebo kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.
4) Tiada perbezaan yang jelas dalam jumlah orang yang kekal dalam remisi klinikal apabila probiotik dibandingkan dengan 5-ASA.
5) Apabila probiotik digabungkan dengan 5-ASA dibandingkan dengan hanya 5-ASA, tiada perbezaan yang jelas dalam jumlah orang yang kekal dalam remisi klinikal.
6) Adalah tidak pasti sama ada probiotik digabungkan dengan 5-ASA membawa kepada perbezaan dalam jumlah orang yang mempunyai relaps klinikal apabila dibandingkan dengan hanya 5-ASA.
7) Tiada kesan buruk serius dilaporkan dalam kajian yang membandingkan probiotik dengan plasebo. Satu kajian yang membandingkan probiotik dengan 5-ASA melaporkan jumlah kesan buruk serius yang sama dengan kedua-dua rawatan. Pemberhentian terapi adalah disebabkan masalah gastrousus, seperti najis berdarah, loya, cirit-birit dan sakit perut.
8) Tidak ada maklumat yang mencukupi dari kajian-kajian tersebut mengenai bagaimana probiotik mempengaruhi kualiti hidup seseorang dan keperluan untuk terapi tambahan apabila dibandingkan dengan rawatan yang lain.
Kesimpulan
Kami tidak pasti sama ada probiotik boleh mengekalkan remisi dalam orang dengan kolitis ulseratif. Ini kerana kajian-kajian tersebut mempunyai sangat sedikit peserta dan tidak dijalankan menggunakan kaedah yang dipercayai. Dengan bukti yang dikemukakan dalam kajian-kajian ini, kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh mengenai keberkesanan probiotik; kajian yang dirancang dengan lebih baik dengan lebih banyak peserta adalah diperlukan.
Berapa terkinikah ulasan ini?
Ulasan ini adalah terkini sehingga Oktober 2019.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my