Intervensi untuk meningkatkan penggunaan langkah-langkah untuk mencegah perkembangan pembekuan darah pada pesakit perubatan dan pembedahan yang dimasukkan ke hospital

Apakah tujuan utama ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mencari sama ada intervensi seluruh sistem meningkatkan penggunaan langkah-langkah untuk mencegah pembekuan darah (tromboprofilaksis), dan mengurangkan kejadian pembekuan darah (tromboembolisme vena) pada pesakit perubatan dan pembedahan dewasa yang dimasukkan ke hospital yang berisiko untuk masalah ini.

Mesej utama

Penyediaan intervensi seluruh sistem, terutamanya amaran, kepada doktor dan ahli profesional penjagaan kesihatan lain mungkin meningkatkan penggunaan tromboprofilaksis atau tromboprofilaksis yang sesuai, serta mengurangkan bilangan pembekuan darah bergejala (pembekuan menunjukkan simptom) pada tiga bulan. Walau bagaimanapun, kepastian tentang bukti dinilai sebagai sederhana atau rendah, oleh itu lebih banyak kajian berkualiti tinggi yang mengkaji keberkesanan intervensi seluruh sistem diperlukan untuk mengesahkan penemuan ulasan ini.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Bekuan darah yang berlaku di vena kaki (trombosis vena dalam) atau dalam peredaran paru-paru (embolisme pulmonari) bersama-sama dikenali sebagai tromboembolisme vena (VTE). VTE adalah komplikasi yang berpotensi pada pesakit yang dimasukkan ke hospital atau sebab perubatan atau pembedahan. Komplikasi ini memanjangkan tempoh tinggal di hospital dan merupakan punca utama kematian dan kehilangan upaya jangka panjang. Faktor risiko untuk VTE termasuk kemasukan ke hospital untuk penyakit pembedahan atau perubatan, kanser, trauma atau imobilisasi, ubat-ubatan, seperti kontraseptif oral atau terapi penggantian hormon, dan kehamilan atau selepas bersalin. Faktor risiko lain termasuk usia yang lebih tua, obesiti, pembekuan darah sebelumnya dan sejarah keluarga dengan pembekuan darah.

Tromboprofilaksi melibatkan pemberian dos kecil ubat antikoagulan (pencair darah), seperti heparin, heparin berat molekul rendah, atau ubat penipisan darah oral, atau penggunaan langkah fizikal, seperti stoking mampatan berperingkat atau peranti mampatan berurutan. Di Amerika Syarikat, tromboprophylaxis telah disenaraikan sebagai strategi nombor satu untuk meningkatkan keselamatan pesakit di hospital, dan intervensi untuk meningkatkan pelaksanaan tromboprophylaxis disenaraikan sebagai strategi keselamatan pesakit ke-10 teratas baru-baru ini yang menuntut tindakan.

Walaupun tromboprofilaksis selamat dan boleh mencegah VTE pada pelbagai kumpulan pesakit yang berisiko untuk komplikasi ini, ia masih kurang digunakan atau digunakan secara tidak wajar. Kami melihat kepada dua cara berbeza untuk mengukur penggunaan tromboprofilaksis: menerima profilaksis (adakah pesakit menerima sebarang profilaksis?), dan menerima profilaksis yang sesuai (adakah pesakit menerima profilaksis yang sesuai untuk mereka?). Kami menganggap profilaksis adalah sesuai jika pengarang kajian melakukannya.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami melakukan ulasan sistematik terhadap kajian rawak terkawal (percubaan di mana peserta dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang menguji pelbagai intervensi seluruh sistem, yang bertujuan untuk meningkatkan penggunaan tromboprofilaksis pada pesakit yang dimasukkan ke hospital. Carian kami menjumpai 13 kajian berkaitan; dua kajian tidak dapat digabungkan dengan yang lain kerana mereka tidak melaporkan data yang kami minati. Kami menyertakan 11 kajian, dengan jumlah 33,207 peserta, dalam analisis kami. Ulasan kami menunjukkan bahawa intervensi menggunakan amaran seolah-olah cara yang paling boleh dipercayai untuk meningkatkan penggunaan tromboprofilaksis.

Data gabungan menunjukkan bahawa:

- Amaran komputer atau manusia meningkatkan bilangan peserta yang menerima tromboprofilaksis sebanyak 21% (tiga kajian, 5057 peserta, bukti kepastian rendah).
- Amaran meningkatkan bilangan peserta yang menerima tromboprofilaksis yang sesuai sebanyak 16% (tiga kajian, 1820 peserta, bukti kepastian sederhana).
- Amaran menurunkan kadar relatif VTE bergejala pada tiga bulan sebanyak 36% (tiga kajian, 5353 peserta, bukti kepastian rendah).
- Intervensi pelbagai aspek dikaitkan dengan hanya peningkatan 4% dalam preskripsi tromboprofilaksis (lima kajian, 9198 peserta, bukti kepastian sederhana).
- Walaupun tidak dibandingkan secara langsung antara satu sama lain, amaran, sama ada amaran komputer atau manusia, nampaknya lebih berkesan daripada intervensi pelbagai aspek.
- Walaupun tidak dibandingkan secara langsung antara satu sama lain, amaran komputer mungkin lebih berkesan daripada amaran manusia untuk meningkatkan tromboprofilaksis yang lain sesuai dan mengurangkan VTE bergejala.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 7 Januari 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information