Ulasan bukti mengenai penggunaan intervensi untuk individu dengan gangguan spektrum autisme, berdasarkan model psikologi 'Teori Minda'

Latar belakang

Model 'Teori Minda' mencadangkan bahawa individu dengan gangguan spektrum autisme (ASD) menghadapi kesukaran ketara dalam memahami fikiran orang lain, termasuk emosi, perasaan, kepercayaan, dan pemikiran mereka. Telah dicadangkan bahawa ini mungkin menjadi asas kepada banyak masalah lain yang dialami oleh individu dengan ASD, termasuk masalah sosial dan komunikasi, serta beberapa tingkah laku mencabar. Oleh itu, beberapa kajian telah cuba untuk mengajar teori minda dan kemahiran berkaitan kepada individu dengan ASD.

Soalan ulasan

Ulasan ini bertujuan untuk meneroka sama ada a) adakah mungkin untuk mengajar kemahiran teori minda kepada individu dengan autisme dan b) sama ada bukti ini menyokong model teori minda. Memiliki 'teori minda' mungkin bergantung kepada pembangunan kemahiran asas yang berkaitan, termasuk perhatian bersama (berkongsi minat berfokus dengan orang lain), mengenali emosi orang lain melalui wajah atau cerita, dan meniru orang lain. Oleh itu, kami menyertakan kajian intervensi yang bukan sahaja mengajar teori minda itu sendiri, tetapi juga kemahiran berkaitan.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 22 kajian penyelidikan yang melibatkan 695 peserta, yang melaporkan tentang keberkesanan intervensi berkaitan teori minda. Bukti adalah terkini sehingga 7 Ogos 2013.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Walaupun semua kajian menggunakan kaedah asas yang berkualiti tinggi (kajian rawak terkawal), terdapat kebimbangan tentang kelemahan reka bentuk dan pelaporan kajian dalam beberapa aspek. Walaupun terdapat beberapa bukti bahawa teori minda, atau kemahiran berkaitan, boleh diajarkan kepada individu dengan ASD, bukti yang ada pada masa ini adalah berkualiti rendah mengenai kebolehan untuk mengekalkan kemahiran ini, menggunakannya dalam tetapan lain, atau bahawa pengajaran teori minda mempunyai impak terhadap kebolehan yang berkaitan dengan perkembangan. Sebagai contoh, ia adalah jarang bagi kemahiran yang diajar untuk dapat digunakan dalam konteks baru, seperti berkongsi perhatian dengan orang dewasa baru yang bukan ahli terapi semasa intervensi. Kemahiran baru tidak semestinya dikekalkan dari masa ke masa. Bukti ini boleh menunjukkan bahawa model teori minda mempunyai sedikit kaitan dengan amalan pendidikan dan latihan klinikal dalam ASD. Penyelidikan lanjut menggunakan kaedah longitudinal, ukuran hasil yang lebih baik, dan piawaian pelaporan yang lebih tinggi adalah diperlukan untuk memberikan penjelasan mengenai isu-isu ini. Ini adalah sangat penting kerana butiran khusus model teori minda terus berkembang.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Keesha Ravintharan (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information