Latarbelakang
Kesihatan dan pendidikan sangat berkaitan: kanak-kanak sihat mencapai keputusan lebih baik di sekolah, yang seterusnya dikaitkan dengan peningkatan kesihatan kemudian hari. Hubungkait kesihatan dan pendidikan menjadi asas rangka kerja Sekolah Mempromosi Kesihatan (SMK) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (PKS), satu pendekatan untuk mempromosi kesihatan di sekolah-sekolah yang menumpukan keseluruhan persekitaran sekolah. Walaupun rangka kerja SMK diguna di kebayakan sekolah-sekolah, namun kita tidak tahu keberkesanannya.Sorotan ini bertujuan menilai sama ada rangka kerja SMK dapat meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan pelajar serta prestasi mereka di sekolah.
Ciri kajian
Kami mencari kajian rawak kluster terkawal intervensi berasaskan sekolah yang bertujuan meningkatkan kesihatan golongan muda berumur empat hingga 18 tahun di 20 pangkalan data kesihatan, pendidikan dan sains sosial serta pendaftaran kajian dan laman web. Kami hanya memasukkan kajian program-program yang menangani tiga aspek dalam rangka kerja SMK: termasuk pendidikan kesihatan dalam kurikulum; perubahan sosial dan fizikal sekolah atau kedua-duanya dan melibatkan keluarga pelajar atau komuniti setempat atau kedua-duanya.
Keputusan utama
Kami mendapati 67 kajian melibatkan 1345 sekolah dan 98 daerah yang memenuhi kriteria.Kajian-kajian ini memfokuskan pelbagai topik kesihatan termasuk aktiviti fizikal, nutrisi, penggunaan bahan (tembakau, alkohol dan dadah), buli, keganasan, kesihatan mental, kesihatan seksual, pencucian tangan, penggunaan topi keledar, perlindungan matahari, gangguan pemakanan dan kesihatan oral.Bagi setiap kajian, dua penulis mengekstrak data relevan secara berasingan dan menilai risiko bias kajian.Kami mengumpulkan kajian-kajian tersebut mengikut topik yang difokus.
Kami mendapati intervensi yang menggunakan SMK dapat mengurangkan indeks jisim tubuh (IJT) para pelajar, meningkatkan aktiviti fizikal dan tahap kesihatan, meningkatkan pengambilan buah dan sayuran, mengurangan penggunaan rokok dan aduan dibuli.Namun, kami mendapati kurang bukti IJT apabila umur dan jantina diambilkira (zIJT), dan tiada bukti keberkesanan pengambilan lemak, alkohol dan penggunaan dadah, kesihatan mental, keganasan dan membuli orang lain.Kami tidak mempunyai cukup data untuk merumus keberkesanan pendekatan SMK untuk kesihatan seksual, pencucian tangan, penggunaan topi keledar, gangguan pemakanan, perlindungan matahari, kesihatan oral dan hasil akademik. Sebilangan kecil kajian membincangkan sama ada aktiviti promosi kesihatan atau data yang terkumpul boleh membahayakan para pelajar yang terlibat.
Kualiti bukti
Pada keseluruhannya, kualiti bukti adalah rendah ke sederhana. Kami mengenalpasti beberapa masalah dalam menjalankan kajian-kajian tersebut yang mungkin mengundang bias termasuklah kajian-kajian yang bergantung kepada maklumat pelajar tentang tingkahlaku mereka (tanpa ia diukur secara objektif) dan jumlah pelajar yang banyak menarik diri daripada kajian. Permasalahan tersebut dan sejumlah kecil kajian yang dimasukkan dalam analisa, membataskan keupayaan kami merumus keberkesanan rangka kerja SMK secara umum.
Rumusan
Secara keseluruhan, kami mendapat bukti bagi mencadang pendekatan SMK dapat meningkatkan beberapa aspek kesihatan, tetapi tidak ada data yang cukup untuk merumuskan keberkesanannya bagi aspek-aspek lain.Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengetahui sama ada pendekatan ini dapat meningkatkan aspek kesihatan yang lain dan prestasi pelajar di sekolah.
Diterjemah oleh Noorliza Mastura ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my