Kesan tahap tekanan yang lebih tinggi berbanding tahap lebih rendah di paru-paru pada setiap akhir nafas semasa ventilasi mekanikal dalam kalangan pesakit dengan sindrom distres respiratori akut (ARDS)

Soalan ulasan

Kami ingin mencari bukti dari kajian rawak terkawal tentang manfaat dan mudarat tekanan akhir ekspirasi positif (PEEP) tinggi berbanding tahap rendah di paru-paru. Kami ingin fokus kepada pesakit dewasa dengan kecederaan paru-paru akut (ALI) dan sindrom distres respiratori akut (ARDS). Para pesakit ini mempunyai paras oksigen darah yang rendah oleh itu kurang pengoksigenan tisu.

PEEP adalah tekanan di paru-paru (tekanan alveolar) pada akhir setiap nafas (ekspiratori). Dalam kalangan pesakit dengan ventilasi mekanikal, PEEP berfungsi melawan pengosongan paru-paru secara pasif dan kolaps kantung udara (alveoli). Kolaps kantung udara boleh menyebabkan pengembangan paru-paru yang tidak lengkap pada nafas seterusnya dan pengurangan oksigenasi. PEEP digunakan untuk memperbaik pengoksigenan.

Latar belakang

ALI dan ARDS adalah disebabkan oleh kebocoran cecair di paru-paru dan keradangan lokal yang boleh menyebabkan kerosakan alveolar meluas dan pengumpulan cecair di paru-paru. Pengumpulan cecair dapat dilihat pada sinar-X dada. Kerosakan alveolar boleh menyebabkan parut (fibrosis). Penyebab umum adalah jangkitan pneumonia dan jangkitan umum (sistemik), seperti sepsis.

Pesakit ALI dan ARDS diberi ventilasi mekanikal (memberi tekanan positif ke paru-paru, biasanya melalui tiub pernafasan). Ventilasi mekanikal adalah kaedah sokongan buatan untuk respiratori yang memasukkan gas ke saluran udara pesakit melalui sistem mekanikal eksternal. Penggunaan PEEP adalah salah satu strategi perlindungan paru-paru yang bertujuan untuk memperbaik oksigenasi pesakit dan survival.

Manfaat dan risiko PEEP adalah tidak jelas, kerana ia boleh meningkatkan risiko kerosakan paru-paru yang disebut barotrauma. Ini berlaku apabila udara bocor ke ruang antara paru-paru dan dinding dada (pneumothorax). Udara ini menekan bahagian luar paru-paru dan menyebabkannya kolaps.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini hingga Mei 2020. Ulasan ini tiada sumber pembiayaan. Kami memasukkan 10 kajian dengan 3851 peserta (6 dari ulasan terdahulu dan 4 dari carian literatur kami yang dikemaskini). Di dalam lapan kajian (3703 peserta), perbandingan dibuat antara tahap PEEP tinggi dan rendah, dengan amaun udara yang sama dihantar ke paru-paru dan dihembus keluar (hembusan) dengan setiap nafas (isipadu tidal) bagi setiap kumpulan. Dua kajian lain menggunakan isipadu tidal yang berbeza untuk kedua-dua kumpulan dan tidak dapat dimasukkan dalam semua keputusan ulasan.

Keputusan utama

Kami mencatat penemuan berikut.

• Tahap PEEP yang lebih tinggi (berbanding tahap yang lebih rendah) mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan pesakit yang mati sebelum discaj dari hospital (7 kajian, 3642 peserta; bukti kepastian sederhana).

• Pengoksigenan darah bertambah baik dengan PEEP yang lebih tinggi pada hari pertama, ketiga (6 kajian, lebih 2300 peserta, kedua-duanya bukti kepastian rendah), dan hari ketujuh (5 kajian, 1611 peserta; bukti kepastian sederhana) kajian.

• Tahap PEEP yang lebih tinggi tidak dikaitkan dengan barotrauma (9 kajian, 3790 peserta; bukti kepastian rendah).

• Tahap PEEP yang tinggi tidak meningkatkan bilangan hari bebas ventilasi dalam tempoh 28 hari (3 kajian, 1654 peserta; bukti kepastian rendah).

Akhirnya, data sedia ada tidak cukup untuk menilai impak PEEP terhadap tempoh inap di unit penjagaan intensif, yang diperlukan oleh ventilasi mekanikal.

Kepastian bukti

Tahap paling tinggi kepastian bukti adalah sederhana, dan beberapa hasil disokong oleh bukti kepastian rendah. Para pesakit dalam kajian yang berbeza bervariasi dalam keparahan ALI atau ARDS dan faktor klinikal lain (menyebabkan heterogeniti). Pendekatan yang berbeza diguna untuk menetapkan dan menyesuaikan tahap PEEP.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information