Soalan kajian: Adakah latihan program-program resusitasi neonatal (SFNRT) secara formal dan seragam kepada pengamal perubatan dapat mengurangkan kadar kematian dan morbiditi neonatal, meningkatkan perolehan dan pengekalan pengetahuan dan kemahiran atau mengubah kerja berpasukan dan tingkah laku resusitasi (bantuan kecemasan)?
Latar-belakang: Satu dalam 10 bayi yang baru lahir memerlukan resusitasi (bantuan kecemasan yang diberikan apabila pernafasan atau denyutan jantung tidak dikesan) ketika kelahiran. Terdapat banyak program resusitasi bayi baru lahir yang berbeza tetapi keberkesanan program-program ini dalam mengurangkan kematian atau kecederaan otak akibat kekurangan oksigen masih belum dikaji semula.
Ciri-ciri kajian: Kami telah mencari kajian-kajian yang menilai keberkesanan program resusitasi bayi baru lahir pada bulan April 2014 dan dikemaskini pada Mac 2015. Kami mendapati terdapat lima kajian berasaskan komuniti (187.080 kelahiran) dan lima kajian berasaskan manikin atau patung (626 bayi yang baru lahir).
Keputusan dan kualiti bukti: Bukti berkualiti sederhana daripada tiga kajian mencadangkan bahawa latihan resusitasi bayi baru lahir mungkin mengurangkan kematian bayi dalam tempoh tujuh hari pertama selepas kelahiran. Bukti berkualiti rendah daripada satu kajian mencadangkan bahawa latihan resusitasi bayi baru lahir mungkin mengurangkan kematian bayi dalam 28 hari pertama selepas kelahiran. Ketiga-tiga kajian telah dilakukan di kawasan yang berpendapatan rendah dan penemuan mereka mungkin mempunyai kebolehgunaan yang terhad di kawasan yang berpendapatan tinggi. Kami juga mendapati bahawa mengajar kerja berpasukan disamping latihan resusitasi boleh meningkatkan tingkah laku pasukan dan mengurangkan masa untuk resusitasi (dua kajian, kualiti bukti rendah) tetapi kesan ke atas amalan resusitasi tidak dapat dipastikan. Ianya tidak dapat dipastikan sama ada program resusitasi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dengan segera dan meningkatkan pengetahuan pada enam bulan kerana kualiti bukti adalah sangat rendah. Begitu juga, samada 'boosters' atau penggalak kepada resusitasi neonatal membantu dalam mengekalkan pengetahuan atau melaksanakan resusitasi dengan sewajarnya, masih tidak dapat dipastikan (kualiti bukti adalah sangat rendah). Tambahan pula, samada alat bantuan visual atau elektronik untuk bantu membuat keputusan semasa resusitasi, meningkatkan amalan resusitasi adalah tidak jelas (satu kajian tidak menunjukkan kesan tetapi satu alat sokong keputusan elektronik dengan petunjuk meningkatkan performa resusitasi (kualiti bukti rendah). Kami amat menggalakkan kajian-kajian pada masa depan untuk melaporkan hasil-hasil yang berkait dengan kesihatan jangka panjang, seperti kecederaan otak akibat kekurangan oksigen, sawan dan perkembangan otak jangka panjang. Kaedah-kaedah yang berkesan untuk meningkatkan tingkah laku kerja berpasukan, pembelajaran dan pengekalan pengetahuan resusitasi dan kemahiran diperlukan.
Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.