Keledek (Ipomoea batatas) adalah tumbuhan yang terdapat dalam kawasan tropika dan subtropika dan merupakan salah satu sayur-sayuran tropika dan subtropika yang paling berkhasiat. Selain popular dalam masakan di negara Asia Pasifik, Afrika dan Amerika Utara, keledek juga digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat diabetes melitus. Kami memutuskan untuk menyiasat sama ada terdapat cukup bukti dari kajian perubatan untuk menunjukkan sama ada keledek berkesan sebagai rawatan untuk diabetes. Ulasan kajian rawak terkawal ini mendapati hanya tiga kajian (dengan jumlah 140 peserta) yang menilai kesan keledek untuk diabetes melitus jenis 2 berbanding dengan ubat tiruan(plasebo). Semua kajian ini adalah berkualiti sangat rendah. Dua kajian dengan 122 peserta menunjukkan peningkatan jangka panjang kawalan metabolik tahap gula dalam darah yang diukur oleh hemoglobin glikosilat A1c (HbA1c) yang diturun dengan sederhana sebanyak 0.3% dalam kalangan peserta yang telah diberi 4 g tablet keledek sehari selama tiga hingga lima bulan. Tempoh rawatan adalah antara enam minggu hingga lima bulan. Tiada kajian yang menyiasat komplikasi diabetes, kematian sebarang sebab, kualiti hidup berkaitan kesihatan, kesejahteraan, hasil fungsi atau kos. Kebanyakan kesan buruk adalah ringan, dan termasuk distensi abdomen dan sakit. Terdapat banyak jenis keledek dan persediaan-persediaan keledek. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menilai kualiti pelbagai persediaan keledek dan membuat penilaian lanjutan penggunaan pelbagai jenis keledek dalam diet penghidap diabetes.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.