Posisi badan dan pengambilan cecair untuk mencegah sakit kepala selepas tebukan lumbar

Latar belakang

Tebukan lumbar adalah prosedur perubatan yang dilakukan menggunakan jarum dan picagari, ianya digunakan untuk mengambil sampel cairan serebrospinal ataupun untuk menyuntik ubat ke ruangan serebrospinal. Sesetengah orang mengalami kesan sampingan selepas itu yang disebut sebagai sakit kepala selepas tebukan dural (PDPH). Keadaan ini boleh menjadi lebih teruk dengan pergerakan, duduk ataupun berdiri, dan dapat dikurangkan dengan berbaring. PDPH menghadkan pergerakan dan aktiviti harian mereka yang mengalaminya, serta menyebabkan perbelanjaan yang tidak dijangka oleh pesakit dan institusi kesihatan. Doktor ada kalanya menasihatkan pesakit mereka untuk tetap berbaring di katil selepas tebukan lumbar dan minum air dengan banyak untuk mengelakkan PDPH.

Penemuan utama

Ini adalah kemas kini ulasan asal yang diterbitkan pada 2013. Kami menemui satu kajian baru dalam pencarian literatur yang diterbitkan pada bulan Februari 2015. Ulasan ini menyertakan 24 kajian dengan 2996 peserta. Kami membandingkan pelbagai jenis rehat ditempat tidur dan cecair tambahan untuk melihat sama ada ianya dapat menghalang PDPH selepas tebukan lumbar. Kami menemui bukti berkualiti rendah hingga sederhana bahawa rehat di tempat tidur tidak mencegah terjadinya sakit kepala selepas tebukan lumbar, tanpa mengambil kira tempoh rehat atau posisi badan atau kepala yang dilakukan oleh pesakit. Malah, rehat di tempat tidur mungkin meningkatkan peluang mendapat PDPH. Kami menemui data yang sedikit mengenai kebaikan cecair tambahan, namun ianya kelihatan tidak menghalang PDPH.

Kami percaya bahawa amalan ini tidak lagi disarankan secara rutin kepada pesakit untuk mencegah sakit kepala selepas tebukan lumbar kerana tidak ada bukti yang menyokongnya.

Kualiti bukti

Kami menganggap kualiti bukti untuk sebahagian besar hasil yang dinilai dalam ulasan ini adalah rendah hingga sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amirul Mohd Sallehuddin Mannan (Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information