Ubat untuk mencegah kehilangan pendengaran dalam kalangan kanak-kanak yang menerima kemoterapi platinum untuk kanser

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti keberkesanan sebarang intervensi perubatan untuk mencegah kehilangan pendengaran dalam kalangan kanak-kanak penghidap kanser yang dirawat dengan terapi berasaskan platinum (iaitu termasuk ubat antikanser sisplatin, karboplatin, oksaliplatin atau gabungan ketiga-tiganya). Kami juga melihat kepada keberkesanan antikanser, kesan-kesan sampingan selain daripada kehilangan pendengaran dan kualiti hidup.

Latar belakang

Kemoterapi berasaskan platinum, termasuk sisplatin, karboplatin, oksaliplatin atau gabungan ketiga-tiganya, adalah digunakan dalam rawatan terhadap pelbagai jenis kanser kanak-kanak. Malangnya, salah satu kesan sampingan yang paling penting kemoterapi platinum adalah kehilangan pendengaran. Ia boleh terjadi bukan sahaja semasa tempoh rawatan tetapi juga bertahun-tahun setelah rawatan tamat. Walaupun ianya tidak mengancam nyawa, tetapi kehilangan pendengaran, terutamanya dalam masa tiga tahun pertama kehidupan, mungkin membawa kepada kesukaran dengan prestasi di sekolah dan fungsi psikososial. Pencegahan kehilangan pendengaran diakibatkan platinum adalah sangat penting dan mungkin boleh meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak yang menjalani rawatan kanser dan mereka yang telah sembuh dengan rawatan kemoterapi berasaskan platinum.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2019.

Kami menemui dua kajian rawak (kajian klinikal di mana orang diletakkan di dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) dan satu kajian terkawal (kajian klinikal di mana orang diletakkan di dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan tetapi tidak dilakukan secara cara rawak) (149 peserta), semuanya membandingkan amifostin dengan tanpa rawatan tambahan. Dua kajian melibatkan kanak-kanak dengan osteosarkoma (sejenis kanser tulang), kajian yang lain melibatkan kanak-kanak dengan hepatoblastoma (sejenis kanser hati). Menggabungkan keputusan kajian yang disertakan adalah mustahil. Adalah tidak jelas berapa lama peserta dipantau.

Kami juga menemui satu kajian rawak (109 kanak-kanak dengan hepatoblastoma tempatan) yang membandingkan sodium tiosulfat dengan tanpa rawatan tambahan. Separuh daripada peserta dipantau selama lebih daripada empat tahun.

Keputusan utama

Pada masa ini tiada bukti daripada kajian individu yang menunjukkan bahawa penggunaan amifostin mencegah kehilangan pendengaran. Hanya satu kajian melaporkan keputusan terhadap tindak balas kanser dan kesan-kesan sampingan, maka kami tidak dapat membuat kesimpulan muktamad. Tiada kajian yang menilai kelangsungan dan kualiti hidup. Kehilangan pendengaran dilihat lebih rendah dengan penggunaan sodium tiosulfat, tetapi kesan sodium tiosulfat terhadap tindak balas kanser dan kesan-kesan sampingan adalah tidak dapat dipastikan. Kami tidak mengenal pasti kajian yang mencukupi untuk ubat lain yang mungkin untuk mencegah kehilangan pendengaran dan untuk jenis kanser yang lain. Sebelum kesimpulan muktamad dapat dihasilkan tentang kegunaan ubat yang mungkin untuk mencegah kehilangan pendengaran (amifostin, sodium tiosulfat atau ubat yang lain) dalam kalangan kanak-kanak yang dirawat dengan kemoterapi platinum lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi adalah diperlukan.

Kualiti bukti kajian

Kualiti bukti adalah sederhana (untuk kehilangan pendengaran dengan sodium tiosulfat) hingga rendah (untuk semua hasil (keputusan)). Kualiti bukti adalah terhad kerana isu berkaitan rekabentuk kajian (untuk semua hasil) dan bilangan peserta yang sedikit dalam setiap kajian (untuk semua hasil kecuali kehilangan pendengaran dengan sodium tiosulfat).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman Ahmad Rizal (Persatuan Penterjemah Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information