Apa itu ulser tekanan?
Ulser tekanan (juga dikenali sebagai luka katil atau luka tekanan) adalah luka pada kulit yang disebabkan oleh tekanan atau geseran yang berpanjangan. Ia biasanya melibatkan orang yang tidak dapat bergerak atau orang yang mengalami kesukaran menggerakkan diri mereka, sebagai contohnya orang tua atau orang yang lumpuh. Ulser tekanan biasanya berlaku pada bahagian badan yang bertulang, seperti tumit kaki dan pinggul, dan juga pada tulang koksiks (tulang ekor). Ulser tekanan tidak selalunya sembuh, dan, sekiranya ia sembuh, penyembuhan boleh mengambil masa yang lama.
Apa itu fototerapi?
Fototerapi adalah rawatan di mana bahagian badan didedahkan kepada cahaya siang hari, atau cahaya dengan gelombang yang spesifik. Ia digunakan untuk merawat pelbagai penyakit, dan boleh melibatkan cahaya dan laser. Fototerapi digunakan untuk merawat ulser tekanan dengan harapan yang ia boleh mengurangkan masa yang diambil oleh ulser untuk sembuh.
Tujuan ulasan ini
Ulasan ini cuba untuk mengetahui sama ada rawatan fototerapi yang diberikan sebagai tambahan kepada penjagaan standard (iaitu pelegaan tekanan, pembuangan tisu mati daripada luka, kawalan jangkitan dan penggunaan pembalut) memperbaik masa sembuh untuk ulser tekanan. Penjagaan standard ditambah dengan fototerapi boleh dibandingkan dengan penjagaan standard sahaja, atau dengan penjagaan standard ditambah dengan fototerapi palsu, atau dengan penjagaan standard ditambah dengan fototerapi jenis lain.
Penemuan ulasan ini
Pengarang ulasan telah mencari literatur perubatan sehingga 7 Januari 2014, dan mengenal pasti tujuh ujian perubatan yang berkaitan, dengan jumlah 403 peserta. Enam kajian membandingkan penggunaan fototerapi dengan hanya penjagaan standard; satu kajian membandingkannya dengan penjagaan standard beserta dengan fototerapi palsu. Hanya satu kajian melibatkan kumpulan rawatan ketiga yang menyiasat jenis fototerapi lain.
Dua kaujian melaporkan masa yang diambil untuk ulser tekanan sembuh sepenuhnya, dan ini menunjukkan perbaikan dalam masa penyembuhan untuk peserta dalam kumpulan fototerapi yang menerima rawatan dengan cahaya ultraviolet. Walau bagaimanapun, keputusan tersebut perlu ditafsirkan dengan berhati-hati, disebabkan ujian yang kecil, berkualiti rendah, berisiko bias yang tidak pasti (iaitu dengan keputusan yang berpotensi mengelirukan), dan hasil penemuan mungkin disebabkan oleh kebetulan. kajian lain melaporkan sama ada keputusan yang bercanggah atau pelbagai ukuran/titik masa antara ujian, yang bermaksud bahawa kami tidak dapat membuat kesimpulan sama ada fototerapi adalah efektif untuk merawat ulser tekanan atau tidak. Dua kajian melaporkan insiden kesan yang memudaratkan (kesan buruk) dan mencatatkan tiada perbezaan yang signifikan antara kumpulan rawatan fototerapi dan rawatan standard. Empat kajian memberikan maklumat dana, dua daripada dana industri, yang lain daripada geran institusi. Tiada kajian yang melaporkan tentang kualiti hidup, tempoh tinggal di hospital, kesakitan atau kos.
Ulasan ini telah mengenal pasti hanya beberapa kajian kecil yang memberikan bukti yang tidak mencukupi untuk menyokong penggunaan fototerapi sebagai rawatan rutin untuk ulser tekanan. Lebih banyak kajian perlu dijalankan sebelum ia dapat ditentukan sama ada rawatan ini berkesan dan selamat.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).