Soalan ulasan
Kami menjalankan ulasan sistematik ini untuk mengetahui jika manfaat mengambil antibiotik untuk eksaserbasi COPD melebihi potensi bahaya (seperti risiko bakteria multi-resistan untuk populasi ini).
Latar belakang
Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) adalah keadaan kronik (paling kerap disebabkan oleh merokok atau pendedahan alam sekitar) yang mempengaruhi laluan udara masuk dan keluar paru-paru. Akibatnya, pesakit mengalami sesak nafas dan batuk. Eksaserbasi COPD merupakan ciri utama tahap penyakit yang lebih maju. Eksaserbasi ditakrifkan sebagai gejala-gejala yang semakin buruk dari keadaan biasa pesakit yang stabil. Gejala-gejala yang lazim dilaporkan termasuk sesak nafas yang lebih teruk, batuk, peningkatan pengeluaran kahak, dan perubahan warna kahak. Doktor kerap mempresrib antibiotik untuk eksaserbasi dalam kalangan pesakit dengan COPD, walaupun punca eksaserbasi seringkali sukar ditentukan (virus, bakteria, alam sekitar).
Ciri-ciri ulasan
Bukti-bukti yang terkumpul untuk ulasan ini adalah terkini sehingga November 2018. Kami mendapati 19 kajian rawak yang membandingkan antibiotik dengan plasebo dalam sejumlah 2663 pesakit COPD dengan pelbagai keterukan.
Keputusan-keputusan utama
Analisis menunjukkan antibiotik yang diguna semasa mengurangkan kegagalan rawatan (tiada pembaikan dalam gejala, meskipun dirawat, dalam tempoh 7 hingga 28 hari, bergantung kepada kajian) berbanding plasebo dalam kalangan pesakit luar dengan eksaserbasi ringan hingga sederhana, serta pesakit-pesakit yang dimasukkan ke unit rawatan intensif untuk eksaserbasi yang sangat teruk dengan kegagalan pernafasan. Walau bagaimanapun, antibiotik tidak mengurangkan kegagalan rawatan dalam kalangan pesakit yang dirawat di hospital yang mengalami eksaserbasi teruk, walaupun kami kurang pasti tentang hasil ini kerana anggaran kesannya juga mencadangkan penemuan yang serupa dengan yang dilihat dalam kalangan pesakit luar, tetapi selang keyakinan melintasi 1.0. Penggunaan antibiotik membawa kepada kematian yang dikurangkan hanya pada pesakit yang dimasukkan ke unit penjagaan rapi, tetapi tidak pada pesakit dengan pesakit ringan atau sederhana (pesakit luar) atau pesakit pernafasan yang teruk, walaupun kematian jarang berlaku dalam kumpulan yang kedua. Antibiotik tidak mengurangkan tempoh tinggal di hospital untuk pesakit yang dimasukkan ke hospital. Pesakit yang dirawat dengan antibiotik mengalami cirit-birit lebih kerap daripada yang diberi plasebo, tetapi perbezaan tersebut tidak ketara secara statistik. Para penilai tidak dapat membandingkan keterukan COPD pada keseluruhan kajian kerana penulis kajian tidak melaporkan fungsi paru-paru dan parameter lain secara konsisten.
Kualiti bukti
Kualiti bukti untuk hasil ulasan adalah rendah hingga sangat rendah.
Kesimpulan
Walaupun keputusan kajian menunjukkan bahawa antibiotik berkesan merentasi hasil bagi pesakit yang mengalami keterukan eksaserbasi dan kegagalan pernafasan yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif, para penyelidik melaporkan kesan yang tidak konsisten dalam kalangan pesakit dengan eksaserbasi ringan hingga teruk. Kajian berkualiti tinggi pada masa hadapan perlu memeriksa tanda-tanda klinikal atau ujian darah semasa pembentangan yang berguna untuk mengenal pasti pesakit yang boleh mendapat manfaat daripada terapi antibiotik.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.