Oral dan sublingual imunoterapi (memberikan seseorang sedikit benda yang mereka alergik melalui mulut atau bawah lidah) terhadap alahan buah-buahan.

Soalan ulasan dan latar belakang

Kami telah mengulas bukti tentang kesan oral dan sublingual imunoterapi kepada mereka yang mempunyai alahan terhadap buah-buahan. Alahan makanan adalah respons abnormal terhadap makanan, biasanya selepas memakannya. Rawatan utama untuk alahan makanan adalah mengelakkan diri daripada makanan tersebut, tetapi sekiranya mereka yang mempunyai alahan makanan, termakan makanan tersebut ianya boleh menyebabkan reaksi yang teruk.

Imunoterapi berkemungkinan menjadi rawatan jangka panjang untuk alahan makanan, termasuk alahan terhadap buah-buahan. Imunoterapi adalah proses di mana bahan alergik diberikan pada individu yang mempunyai alahan tersebut dalam dos yang semakin meningkat dalam tempoh masa yang tertentu bagi membantu mereka menjadi kurang sensitif terhadap alergen yang diberikan. Dalam oral imunoterapi, jumlah kecil alergen diberikan kepada seseorang untuk dimakan. Dalam sublingual imunoterapi, ekstrak daripada alergen diletakkan di bawah lidah.

Ciri-ciri kajian

Kami telah menemui dua kajian dengan jumlah 89 peserta. Satu kajian telah melihat kepada oral imunoterapi terhadap individu yang mempunyai alahan terhadap epal, membandingkannya kepada tiada rawatan, dan satu telah melihat terhadap sublingual imunoterapi terhadap individu yang mempunyai alahan terhadap pic, membandingkannya kepada plasebo. Kedua-dua kajian adalah terhadap orang dewasa. Bukti adalah terkini sehingga Julai 2015.

Keputusan utama

Kajian oral imunoterapi untuk alahan epal telah menemui bahawa peserta yang menerima intervensi menjadi kurang sensitif kepada epal berbanding dengan mereka yang tidak menerima intervensi pada bulan ke lapan. Kajian sublingual imunoterapi untuk alahan pic tidak menemui sebarang perbezaan diantara kumpulan dari segi sensitiviti pada bulan ke enam. Dalam kedua-dua kajian, terdapat lebih kesan sampingan pada mereka yang menerima rawatan, tetapi tidak serius. Secara keseluruhannya, kualiti bukti adalah sangat rendah disebabkan kedua-dua kajian adalah sangat kecil, hasil kajian tidak sama diantara kajian-kajian, dan terdapat isu dengan reka bentuk kajian. Lebih banyak kajian diperlukan sebelum kami dapat memberitahu sama ada oral atau sublingual terapi berguna untuk alahan makanan terdapat buah-buahan.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information