Terapi moksibusi (terapi haba moksa) untuk mengurangkan kesan sampingan kemoterapi atau radioterapi dalam kalangan penghidap penyakit kanser

Isunya
Moksibusi digunapakai dalam perubatan tradisional Cina untuk meningkatkan kualiti hidup dan melegakan kesan sampingan rawatan konvensional untuk pelbagai jenis penyakit. Memandangkan terapi ini melibatkan pembakaran gilingan herba, pendekatan ini boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan yang tidak diingini seperti tindakbalas alahan, pelecuran dan risiko jangkitan.

Matlamat ulasan ini
Kami melaksanakan ulasan sistematik ini untuk meneliti sama ada terapi moksibusi dapat mengurangkan kesan sampingan kemoterapi dan radioterapi yang biasanya ditempuh pesakit, serta kemampuan terapi ini dari segi memperbaik kesejahteraan hidup pesakit kanser.

Kriteria pemilihan
Kami mengulas 29 buah kajian yang melibatkan sejumlah 2569 orang pesakit yang menghidap pelbagai jenis kanser, menerima rawatan kemoterapi, rawatan radioterapi atau kedua-duanya.

Apakah penemuan utama?
Kami menemui beberapa kajian tunggal bersaiz kecil yang menunjukkan pelbagai kesan berfaedah moksibusi dari segi peningkatan sel darah dan penggalakan fungsi imunologi (daya tahan badan), pengurangan gejala saluran cerna yang disebabkan oleh ketoksikan kemoterapi atau radioterapi (seperti rasa loya dan muntah), lantas meningkatkan kualiti hidup. Walau bagaimanapun, kaedah pelaporan kajian yang buruk dan risiko berat sebelah yang tinggi dari segi kaedah kajian menurunkan kepastian bukti?.

Apakah kepastian bukti?
Bukti sedia ada hanya berkepastian rendah ataupun sangat rendah.

Apakah kesimpulan ulasan ini?
Buat sementara waktu, tiada bukti yang kukuh untuk menyokong atau menyangkal penggunaan terapi moksibusi dalam kalangan pesakit yang sedang menerima rawatan untuk kanser. Kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk menyiasat persoalan ini, dan harus menyertakan laporan kesan-kesan sampingan.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information