Soalan sorotan
Kami mengulas bukti mengenai kesan sulodexid ke atas individu yang mempunyai ulser kaki
Latarbelakang
Ulser kaki vena adalah sejenis luka kronik yang agak biasa berlaku di bahagian kaki dan mungkin berulang. Ulser kaki vena disebabkan oleh penyakit vena, terutamanya dalam kalangan warga emas. Terapi mampatan (menggunakan pembalut ataupun stokin) adalah pilihan pertama dalam rawatan ulser kaki vena. Namun demikian, terapi mampatan tidak sesuai bagi sesetengah individu dan ulser mungkin tidak dapat sembuh dengan mampatan. Sulodexid (sejenis ubat yang mengurangkan pembekuan darah) telah dikaji sebagai sejenis rawatan ulser kaki vena. Kami ingin mengetahui sama ada terdapat bukti yang kukuh mengenai pengunaan sulodexid dalam meningkatkan kesan penyembuhan ulser.
Ciri-ciri kajian
Sorotan ini mengandungi empat buah kajian yang melibatkan 463 orang berumur di antara 42 dan 93 tahun yang mempunyai masalah ulser kaki vena Kajian-kajian tersebut membandingkan penggunaan sulodexid secara gabungan dengan rawatan setempat (termasuklah penjagaan luka dan terapi mampatan) atau dengan rawatan setempat sahaja. Tempoh masa keempat-empat kajian adalah antara satu hingga tiga bulan.
Keberhasilan utama
Tiga buah kajian yang melibatkan 438 subjek mencadangkan terdapat kemungkinan sulodexid meningkatkan penyembuhan ulser kerana peratus ulser yang sembuh sepenuhnya meningkat daripada 29.8% (rawatan setempat) berbanding dengan 49.4% yang juga menerima rawatan sulodexid. Namun demikian, tidak dapat dipastikan sama ada sulodexid boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lebih tinggi kerana kesan sampingan berlaku ke atas 4.4% subjek yang menerima sulodexid (berbanding dengan 3.1% tanpa sulodexid).
Kualiti bukti
Namun demikian, bukti kualiti keseluruhan untuk setiap hasil adalah berbeza (daripada yang rendah kepada yang sangat rendah) kerana terdapat risiko berlakunya berat sebelah dan ketidaktepatan (iaitu hanya terdapat satu atau beberapa keputusan kecil sahaja untuk beberapa hasil kajian).
Ringkasan bahasa yang mudah ini adalah terkini sehingga 1 Julai 2015
Diterjemahkan oleh Gan Siew Hua (University Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi shgan@usm.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my