Soalan ulasan
Menyiasat keupayaan ujian D-dimer bagi mengetepikan diagnosis embolisme pulmonari (EP) akut dalam kalangan pesakit yang dirawat secara pesakit luar dan jabatan kecemasan (A&E) di hospital.
Latarbelakang
Embolisme pulmonari (EP) adalah satu keadaan serius yang berpotensi membawa maut yang terjadi apabila darah beku tersumbat di dalam saluran darah paru-paru. Apabila tiba di jabatan kecemasan hospital dengan laporan susah bernafas, sesak nafas dan sakit dada, beberapa penjelasan adalah mungkin tetapi diagnosis yang cepat diperlukan. Ujian-ujian sedia ada bagi mengesan darah beku di paru-paru adalah invasif dan memakan masa, membawa beban sinaran dan mungkin melibatkan kos tinggiUjian-ujian pantas, senang diguna dan murah yang boleh diguna untuk mengetepikan diagnosis adalah sangat berharga.
Salah satu ujian tersebut adalah ujian D-dimer, yang dinamakan sedemikian kerana ia mengesan cebisan protein di dalam darah, yang dikenali sebagai D-dimer. Apabila seseorang dengan gejala susah bernafas dan sakit dada tiba di jabatan A&E hospital, kakitangan menjalankan pemeriksaan dan bertanya soalan-soalan mengenai sejarah perubatan dan gaya hidup.Ini membantu mereka mengira skor risiko pesakit tersebut sama ada gejala adalah berpunca dari EP.
Jika skor menunjukkan mereka berisiko tinggi untuk darah beku di paru-paru, pesakit akan menjalani imbasan diagnostik dengan segera (ataupun dirawat sementara menunggu keputusan-keputusan ujian).Ujian D-dimer dilakukan ke atas orang dalam kumpulan yang berisiko rendah atau sederhana (atau tidak berkemungkinan); keputusan D-dimer yang negatif mungkin dapat mengetepikan diagnosis EP tanpa memerlukan pengimejan.
Ciri-ciri kajian
Ulasan ini mengambil kira bukti daripada kajian-kajian yang menilai keupayaan D-dimer mengetepikan EP dalam kalangan pesakit luar dan jabatan A&E di hospital.
Kami menilai kesemua laporan sedia ada dari hasil carian meluas di pangkalan data penulisan perubatan. Dua penulis ulasan menilai secara berasingan kajian-kajian yang menepati kriteria ulasan, termasuk penggunaan kaedah kajian yang dikenali sebagai kajian keratan rentas; penglibatan orang dengan gejala EP yang datang ke hospital di jabatan A&E dan bahagian pesakit luar; penggunaan skor risiko dan kemudiannya ujian D-dimer; dan perbandingan keputusan-keputusan ujian D-dimer dengan keputusan ujian sedia ada yang terbaik - imbasan ventilasi/perfusi (imbasan V/P), angiograf pulmonari, angiografi pulmonari tomograf berkomputer dan angiografi pulmonari resonans magnetik.
Keputusan-keputusan utama
Empat kajian menepati kriteria kami, dan data daripada 1585 pesakit adalah tersedia. Kami menjumpai bukti bahawa ujian D-dimer negatif (tiada penyakit) adalah bagus untuk mengetepikan EP dan mengenalpasti orang tanpa EP, tetapi angka keputusan ujian positif-palsu yang tinggi mencadangkan bahawa orang yang mempunyai D-dimer yang tinggi mungkin tidak ada EP; oleh itu, ujian yang positif perlu disusuli dengan pengimejan. Dalam satu kajian, positif-palsu adalah lebih lazim dalam kalangan orang berumur 65 tahun keatas.
Kualiti bukti
Pergerakan pesakit dan masa ujian D-dimer dan ujian rujukan piawai merupakan perhatian utama metodologi; tiada penulis memberikan carta alir yang menunjukkan pergerakan pesakit sepanjang tempoh kajian, dan hanya satu kajian melaporkan dengan jelas masa antara pentadbiran indeks dan ujian rujukan piawai.Dalam tiga kajian selebihnya, jangkamasa antara perlaksanaan ujian indeks dan lengkapnya rujukan piawai tidak dilaporkan dengan jelas, menyebabkan klasifikasi bias tidak jelas.
Kesimpulan
Bukti yang terhad dari kajian-kajian dalam ulasan ini menunjukkan ujian D-dimer kuantitatif yang digunakan di jabatan-jabatan kecemasan mempunyai negatif-palsu yang rendah tetapi keputusan positif-palsu tahap tinggi, dengan tahap sensitiviti yang tinggi yang konsisten dalam semua kumpulan umur.Ini menjadikan ujian tersebut berguna sebagai ujian untuk mengetepikan tetapi ini bermakna keputusan yang positif memerlukan pengimejan diagnostik.
Diterjemahkan oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi hairulnizam@usm.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College)