Terapi oksigen kanula hidung beraliran tinggi sebagai sokongan pernafasan untuk bayi cukup bulan

Soalan ulasan

Adakah terapi oksigen kanula hidung beraliran tinggi memperbaik kesihatan bayi baru lahir yang sakit tenat dan memerlukan sokongan pernafasan?

Latar belakang

Apabila bayi yang baru lahir mengalami kesukaran bernafas, mereka mungkin memerlukan sokongan luar untuk membantu menyalurkan udara masuk dan keluar dari paru-paru mereka (pengalihudaraan). Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan untuk menyediakan sokongan pernafasan ini. Pengalihudaraan invasif menyalurkan udara menerusi tiub pernafasan yang diletakkan di dalam kerongkong bayi. Pengalihudaraan bukan invasif menyalurkan udara melalui topeng yang dipakaikan pada mulut atau muka, ataupun melalui suatu tiub kecil yang diletakkan di dalam lubang hidung. Kaedah ini selalunya diutamakan kerana ianya dapat mengelakkan beberapa komplikasi yang berkaitan dengan pengalihudaraan yang invasif.

Apakah terapi oksigen kanula hidung beraliran tinggi (HFNC)?

Terapi oksigen HFNC adalah salah satu bentuk sokongan pernafasan bukan invasif. Ia menyalurkan gas oksigen yang telah dipanaskan dan dilembabkan pada kadar aliran lebih daripada 2 liter seminit melalui tiub yang dipasang di dalam lubang hidung dan dikatakan lebih bermanfaat berbanding terapi oksigen alternatif yang lain. Walau bagaimanapun, dalam kalangan bayi cukup bulan (bayi yang dilahirkan selepas minggu ke-37 kehamilan) yang berusia sebulan (dan oleh itu berada dalam fasa neonatal) bukti tentang keselamatan dan keberkesanan HFNC adalah terhad, dan tidak ada kesepakatan pendapat berkenaan penggunaannya dalam golongan pesakit ini.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin menyiasat sama ada terapi oksigen kanula hidung beraliran tinggi memperbaik kesihatan bayi cukup bulan yang sakit tenat dan memerlukan sokongan pernafasan pada bulan pertama kehidupan, jika dibandingkan dengan kaedah sokongan pernafasan bukan invasif yang lain. Kami juga ingin mengetahui sama ada kaedah ini mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Dalam pencarian yang dijalankan sehingga Disember 2022, kami mengenal pasti lapan kajian yang menyiasat terapi HFNC melibatkan sejumlah 654 bayi cukup bulan. Enam daripada kajian ini (625 peserta) menyumbang data kepada analisis utama kami. Analisis ini melibatkan perbandingan dan perumusan keputusan kajian, dan penilaian tahap keyakinan kami terhadap bukti yang diperoleh, berdasarkan faktor seperti saiz kajian dan sebarang keterbatasan dalam kaedah kajian yang digunakan. Empat daripada kajian tersebut membandingkan HFNC dengan kaedah sokongan bukan invasif alternatif yang dikenali sebagai pemberian tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP) (di mana udara dimampat oleh mesin pada tekanan berterusan dan dialirkan ke saluran udara melalui topeng yang diletakkan di atas muka/mulut atau tiub yang diletakkan di dalam lubang hidung). Dua kajian membandingkan HFNC dengan kanula hidung beraliran rendah (LFNC) (terapi oksigen sehingga kadar aliran gas maksima 2 L/min).

Keputusan utama

Keputusan pertama adalah berkenaan perbandingan antara HFNC dengan CPAP. Tiada kematian diaporkan dalam kajian-kajian ini. HFNC mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kegagalan rawatan, tetapi buktinya adalah sangat tidak pasti. Satu kajian menyiasat penyakit paru-paru kronik (keperluan untuk sokongan oksigen pada 28 hari sesudah lahir) tetapi tiada bayi dalam kajian itu yang memenuhi kriteria ini. HFNC mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas tempoh kebergantungan pada sokongan pernafasan (tempoh masa bayi menerima sebarang bentuk sokongan pernafasan tambahan dengan atau tanpa oksigen tambahan), tetapi buktinya sangat tidak pasti. HFNC mungkin mempunyai sedikit atau tiada perbezaan terhadap tempoh rawatan di unit rawatan rapi (ICU). HFNC boleh mengurangkan kejadian trauma hidung (kerosakan pada tisu hidung) dan pengembungan abdomen (di mana udara bertakung dalam perut dan menyebabkan pengembungan perut yang berlebihan), tetapi buktinya sangat tidak pasti.

Keputusan kedua adalah berkenaan perbandingan antara HFNC dengan LFNC. Tiada kematian diaporkan dalam kajian-kajian ini. Bukti menunjukkan HFNC dapat serba sedikit mengurangkan kadar kegagalan rawatan. Tiada kajian yang menyiasat kesan terhadap penyakit paru-paru kronik. HFNC mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas tempoh kebergantungan pada sokongan pernafasan, tempoh rawatan di ICU, atau tempoh penginapan di hospital, tetapi buktinya sangat tidak pasti. Kedua-dua kajian melaporkan tiada kesan sampingan.

Apakah batasan bukti?

Tahap keyakinan kami terhadap bukti ini adalah sederhana sehingga sangat rendah. Tiga faktor utama mengurangkan tahap keyakinan kami terhadap kumpulan bukti ini. Pertama sekali, beberapa kajian menggunakan kaedah yang mungkin menimbulkan kesilapan dalam keputusan mereka. Keduanya, keputusan kajian-kajian itu menunjukkan ketidaktekalan (inconsistency) sederhana. Akhirnya, saiz beberapa kajian sangat kecil.

Kesimpulan

Jika dibandingkan dengan CPAP, HFNC mungkin memberikan sedikit atau tiada kesan dari segi kegagalan rawatan. HFNC mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas tempoh kebergantungan pada sokongan pernafasan, tetapi buktinya sangat tidak pasti. HFNC mungkin mempunyai sedikit atau tiada pengaruh terhadap tempoh rawatan di unit rawatan rapi (ICU). HFNC boleh mengurangkan kejadian trauma hidung dan pengembungan perut, tetapi buktinya sangat tidak pasti.

Jika dibandingkan dengan LFNC, HFNC mungkin serba sedikit mengurangkan kadar kegagalan rawatan. HFNC mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas tempoh kebergantungan pada sokongan pernafasan, tempoh rawatan di ICU, atau tempoh penginapan di hospital, tetapi buktinya sangat tidak pasti.

Tiada bukti yang mencukupi untuk membolehkan perangkaan garis panduan yang berasaskan bukti untuk penggunaan rawatan HFNC sebagai sokongan pernafasan dalam kalangan bayi cukup bulan. Kajian yang lebih besar dan mapan dari segi perkaedahan diperlukan untuk menilai secara lebih lanjut potensi manfaat kesihatan atau risiko HFNC dalam golongan pesakit ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information