Soalan ulasan
Kami mengulas bukti-bukti sama ada agen antimikrobial (produk antibakteria) boleh mencegah atau merawat jangkitan kaki dalam kalangan penghidap kencing manis apabila diaplikasi secara topikal (terus pada kawasan yang terjejas). Kami ingin mengetahui jika rawatan antibakteria boleh membantu luka yang dijangkiti dan tidak dijangkiti untuk sembuh, dan mencegah jangkitan pada luka yang tidak dijangkiti.
Latar belakang
Penghidap kencing manis berisiko tinggi membentuk ulser kaki. Luka ini boleh menyebabkan ketidakselesaan dan sering dijangkiti. Ulser kaki diabetik yang tidak sembuh boleh mengakibatkan amputasi sebahagian atau seluruh kaki atau kaki bawah. Agen antimikrobial, seperti antiseptik dan antibiotik, membunuh atau menghalang bakteria berkembang, dan kadangkala digunakan untuk merawat ulser kaki diabetik. Antimikrobial boleh digunakan sama ada untuk mengurangkan jangkitan atau menggalakkan penyembuhan luka yang dijangkiti, atau menghalang jangkitan atau menggalakkan penyembuhan luka di mana jangkitan belum dikesan. Kami ingin mengetahui sama ada rawatan antimikrobial berkesan dalam salah satu daripada kes-kes ini; rawatan mana yang paling berkesan; dan jika orang yang dirawat mengalami sebarang kesan sampingan yang berbahaya.
Ciri-ciri kajian
Pada Ogos 2016 kami mencari kajian rawak terkawal yang melibatkan penggunaan sebarang rawatan antimikrobial pada ulser kaki atau luka kaki terbuka lain dalam kalangan penghidap kencing manis. Kami mendapati 22 kajian yang melibatkan seramai lebih 2310 peserta dewasa (satu kajian tidak melaporkan bilangan peserta). Bilangan peserta di dalam setiap kajian adalah dari 4 hingga 317 dan jangkamasa susulan semasa dan selepas rawatan adalah dari 4 hingga 24 minggu. Beberapa kajian memasukkan peserta dengan ulser yang telah dijangkiti, manakala kajian lain memasukkan peserta dengan ulser yang tidak dijangkiti. Kajian-kajian membandingkan pelbagai dresing, cecair, gel, krim atau salap antimikrobial.
Keputusan utama
Kebanyakan kajian tidak melaporkan data penting, memberi maksud kebolehpercayaan keputusan adalah tidak pasti. Keputusan lima kajian ini yang melibatkan 945 peserta mencadangkan penggunaan beberapa jenis dresing antimikrobial boleh meningkatkan bilangan ulser yang sembuh dalam jangka sederhana susulan (4 hingga 24 minggu) apabila dibandingkan dengan dresing bukan antimikrobial (bukti kepastian rendah). Oleh kerana maklumat yang terhad, kami tidak dapat menilai keberkesanan rawatan sama ada menghalang atau menyembuhkan luka jangkitan. Empat kajian yang melibatkan 937 peserta membandingkan antibiotik sistemik (diberikan melalui mulut atau melalui suntikan, diedarkan ke seluruh badan oleh aliran darah) dengan rawatan antimikrobial yang disapu terus pada luka. Kajian tersebut tidak menyediakan data tentang penyembuhan atau jangkitan, tetapi kelihatan tiada perbezaan dalam kesan sampingan yang dialami oleh peserta-peserta yang ulser mereka dirawat secara sistemik atau topikal (bukti sederhana pasti).
Kualiti bukti
Secara keseluruhannya, kepastian bukti yang disediakan oleh kajian-kajian tersebut adalah terlalu rendah untuk kita pastikan dalam sesetengah manfaat dan kemudaratan rawatan topikal antimikrobial bagi merawat ulser kaki dalam kalangan penghidap kencing manis. Lebih banyak kajian rawak terkawal yang lebih besar dengan reka bentuk lebih baik patut dijalankan dalam bahagian ini.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.