Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai impak memperbaiki pembuangan najis kanak-kanak ke atas cirit-birit dan jangkitan helmin tularan tanah (STH). Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan dan mendapati 63 kajian meliputi lebih 222,800 peserta.
Mesej-mesej utama
Kami mendapati bukti intervensi mempromosi pembuangan selamat najis kanak-kanak melindungi daripada cirit-birit. Walau bagaimanapun, bukti adalah bercampur dan kepastiannya adalah sangat rendah hingga sederhana. Kami mendapati tiada bukti intervensi tersebut melindungi jangkitan STH, tetapi bukti sangat terhad dan kepastiannya rendah hingga sangat rendah. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengkaji impak kesihatan pelbagai jenis intervensi untuk memrbaiki pembuangan najis kanak-kanak.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Cirit-birit dan jangkitan STH mempengaruhi berjuta-juta orang di seluruh dunia, terutama di negara berpendapatan rendah. Cirit-birit dan STH disebarkan melalui najis manusia oleh itu pembendungan yang selamat dan pengurusan ekskreta manusia berpotensi signifikan untuk mengurangkan pendedahan dan penyakit. Sumber pendedahan yang sering terabai adalah dari pembuangan najis kanak-kanak yang tidak selamat. Penyelidikan menunjukkan walaupun dalam persekitaran sanitasi yang lebih baik, najis kanak-kanak dibuang ke dalam timbunan sampah atau di tempat lain dan tidak dibuang di tandas seperti yang dianggap selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Kami memasukkan 26 kajian dengan reka bentuk eksperimen dan 37 kajian pemerhatian di dalam ulasan ini. Kebanyakan kajian yang dimasukkan dijalankan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?
Keputusan kajian-kajian yang menggunakan reka bentuk eksperimen menunjukkan:
Intervensi promosi pendidikan dan promosi higin termasuk mesej pembuangan najis kanak-kanak boleh mengurangkan insiden cirit-birit sekitar 30% tetapi tidak menunjukkan kesan ke atas prevalen cirit-birit (bukti kepastian rendah).
Bukti intervensi yang menangani najis kanak-kanak sebagai sebahagian daripada intervensi lebih luas yang bertujuan untuk mengakhiri pembuangan najis terbuka oleh semua ahli isi rumah tidak mengesan kesan ke atas prevalen cirit-birit (bukti kepastian sederhana) atau jangkitan STH (bukti kepastian rendah).
Perkakasan sanitasi (contohnya pencedok najis, bekas najis) dan intervensi perubahan tingkah laku (contohnya, untuk meningkatkan penggunaan tandas) menunjukan keputusan yang bercampur-campur ke atas prevalen cirit-birit, tetapi tiada kesan ditunjukkan di dalam analisis gabungan (bukti kepastian sangat rendah).
Intervensi yang menangani pendidikan pembuangan selamat najis kanak-kanak sebagai sebahagian daripada intervensi perkakasan higin, sanitasi dan air tidak menunjukkan kesan ke atas prevalen cirit-birit (satu kajian; bukti kepastian sangat rendah). Walaupun insiden cirit-birit (dua kajian) dan prevalen STH (satu kajian) adalah lebih rendah, kepastian bukti adalah sangat rendah oleh itu kami tidak tahu jika ini adalah kesan sebenar.
Keputusan dari kajian pemerhatian (di mana para penyelidik melihat kesan rawatan tanpa cuba mengubah siapa yang terdedah atau tidak terdedah) menunjukkan keputusan yang bercampur bagi intervensi promosi higin dan pendidikan, dengan dua kajian di Bangladesh menunjukkan tiada kesan ke atas prevalen cirit-birit (bukti kepastian sangat rendah) dan dua kajian di Ethiopia mengurangkan prevalen cirit-birit (bukti kepastian sangat rendah). Satu kajian yang menilai intervensi yang bertujuan untuk mengakhiri pembuangan najis terbuka mendapati peningkatan dalam jangkitan STH bagi lengan intervensi (bukti kepastian sangat rendah). Keputusan gabungan dari kajian-kajian lain yang menampilkan data pembuangan najis kanak-kanak menunjukkan pembuangan najis di dalam tandas boleh mengurangkan kemungkinan satu perempat cirit-birit pada semua peringkat umur (bukti kepastian sangat rendah). Kanak-kanak yang menggunakan tandas untuk membuang air besar boleh mengurangkan hampir separuh kemungkinan cirit-birit dalam semua peringkat umur (bukti kepastian sangat rendah). Walau bagaimanapun,dengan bukti kepastian yang sangat rendah, kami tidak pasti tentang kesan faktor-faktor risiko ini ke atas cirit-birit.
Adakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian-kajian sehingga 27 September 2018.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com