Meditasi untuk orang dewasa yang mengidap malignansi hematologi

Latar belakang

Kanser sumsum tulang, tisu limfa dan darah dianggap sebagai malignansi hematologi. Jenis malignansi hematologi yang paling biasa ialah limfoma, leukemia dan myeloma tetapi ia juga termasuk sindrom myelodysplastic atau penyakit myeloproliferative. Dalam setiap jenis penyakit terdapat pelbagai sub-bahagian. Terdapat beberapa pilihan rawatan bergantung kepada jenis dan keterukan kanser. Terapi yang paling biasa ialah kemoterapi, radioterapi atau gabungan kedua-duanya. Dalam sesetengah kes, pemindahan sel stem ditawarkan (di sinilah sama ada sel sum-sum tulang pesakit sendiri atau sel orang lain ditanam di dalam badan pesakit selepas kemoterapi yang agresif). Mereka yang diderita kanser hematologi mungkin mempunyai simptom yang serius, dan rawatan selalunya menyebabkan kesan sampingan yang teruk dan menyedihkan.

Hidup dengan kanser dan menjalani rawatan agresif selalunya membawa kepada masalah kesihatan fizikal atau psikologi seperti keletihan, kebimbangan atau kemurungan. Walaupun selepas menjalani rawatan, sesetengah pesakit masih terjejas oleh penyakit dan mencari pilihan rawatan alternatif untuk membantu mereka menghadapi penyakit mereka.

Meditasi

Meditasi telah diamalkan selama beribu-ribu tahun oleh banyak budaya yang berbeza dan mempunyai asal-usul dalam tradisi timur purba. Amalan meditasi boleh dilakukan dalam pelbagai postur dan cara. Sebagai contoh, orang itu boleh memberi tumpuan kepada pernafasan masuk dan keluar, pada objek atau mengulang perkataan atau sepasang perkataan (mantra). Beberapa jenis meditasi adalah berdasarkan kepercayaan rohani. Satu rawatan menggunakan amalan meditasi dipanggil terapi kognitif berasaskan kesedaran dan telah menunjukkan peningkatan pada kesusahan, kualiti hidup dan kebimbangan dalam pesakit kanser. Walau bagaimanapun, belum ada penilaian yang sistematik tentang bagaimana amalan meditasi boleh menambah baik dan mempengaruhi kehidupan mereka yang mempunyai penyakit hematologi.

Objektif

Kami menyiasat kesan amalan meditasi pada orang dewasa yang mengidap malignansi hematologi. Hasil penting ialah kualiti hidup, kemandirian keseluruhan, kemurungan, keletihan, kebimbangan, kualiti tidur dan kejadian buruk. Kami menyemak kesan amalan meditasi sebagai tambahan kepada penjagaan standard untuk pesakit yang baru didiagnosis dengan leukemia akut berbanding penjagaan standard sahaja.

Penemuan

Kami memasukkan satu kajian dengan 91 pesakit dewasa, di mana hanya 42 dianalisis. Kajian tersebut melibatkan lima sesi intervensi meditasi selama satu jam antara kemasukan dan pelepasan peserta yang baru didiagnosis dengan leukemia myeloid akut atau leukemia limfoid. Tiada maklumat mengenai umur peserta yang dimasukkan dalam kajian ini. Semua peserta dalam kajian telah dimasukkan ke hospital untuk kemoterapi induksi awal. Oleh kerana abstrak penerbitan tidak memberikan nombor, ia tidak mungkin untuk menerangkan keputusan dengan lebih terperinci.

Peserta yang mengamalkan meditasi melaporkan kesihatan fizikal yang lebih baik dan tahap kemurungan boleh dikurangkan.

Kualiti bukti

Kebanyakan hasil pra-takrif kami (keseluruhan langsung hidup, kebimbangan, keletihan, kualiti tidur dan kejadian buruk) tidak dilaporkan sama sekali. Kami menilai kualiti bukti untuk kualiti hidup dan kemurungan hasil sebagai 'sangat rendah', disebabkan risiko berat sebelah yang tinggi (hanya 42 daripada 91 peserta dinilai) dan keputusan yang sangat tidak tepat.

Kesimpulan

Tiada data yang mencukupi untuk menentukan keberkesanan amalan meditasi pada pesakit yang berpenyakit hematologi, oleh itu peranan meditasi dalam rawatan malignansi hematologi masih tidak jelas. Lebih banyak kajian rawak terkawal berkualiti tinggi dan lebih besar diperlukan untuk mengesahkan kemungkinan kesan positif amalan meditasi untuk pesakit yang berpenyakit hematologi.

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2015.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information