Intervensi promosi kesihatan serentak untuk mencegah penyakit kardiovaskular di negara berpendapatan rendah dan sederhana ("seting dengan sumber terhad")

Soalan ulasan

Ulasan ini mengkaji keberkesanan intervensi promosi kesihatan yang bertujuan untuk mengurangkan lebih daripada satu faktor risiko kardiovaskular utama (intervensi faktor risiko pelbagai) untuk pencegahan utama penyakit kardiovaskular di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC). Faktor risiko tersebut adalah berat badan berlebihan/obesiti, tekanan darah tinggi, merokok, terlalu banyak kolesterol yang tidak baik atau tahap aktiviti fizikal yang rendah.

Latar belakang

Bukti dari negara berpendapatan tinggi menunjukkan bahawa program intervensi faktor risiko pelbagai tidak menyebabkan pengurangan kejadian penyakit kardiovaskular (CVD). Memandangkan peningkatan insiden CVD dan kesedaran kesihatan CVD yang lebih rendah dalam LMIC, adalah berkemungkinan program sedemikian mungkin mempunyai kesan yang bermanfaat. Satu elemen penting dalam memperbaiki keadaan ini adalah pangkalan bukti yang komprehensif dan relevan, yang akan melengkapkan LMIC untuk mengambil tindakan termaklum. Komponen aktiviti promosi kesihatan mungkin merangkumi yang berikut: (a) nasihat pemakanan untuk menggalakkan tabiat pemakanan yang sihat; (b) mengurangkan pengambilan alkohol yang berbahaya; (c) nasihat mengenai pemberhentian rokok; (d) nasihat tentang peningkatan aktiviti fizikal harian; dan (e) mengurangkan berat badan.

Ciri-ciri kajian

Kami melakukan carian menyeluruh kesusasteraan perubatan sehingga Jun 2014. Kami mengenal pasti 13 kajian yang merekrut 7310 peserta. Dua kajian merekrut peserta yang sihat dan 11 kajian lain merekrut orang yang mempunyai risiko CVD yang berbeza, seperti peserta yang diketahui mempunyai hipertensi ("tekanan darah tinggi") dan diabetes jenis 2, dan menetapkan peserta secara rawak kepada sama ada intervensi faktor risiko pelbagai atau tiada intervensi. Kajian dijalankan antara 2001 dan 2010, dan diterbitkan antara 2004 dan 2012. Tiga kajian telah dijalankan di Turki. Dua kajian masing-masing dijalankan di China dan Mexico. Satu kajian merekrut peserta dari China dan Nigeria. Kajian lain telah dijalankan di Brazil, India, Pakistan, Romania dan Jordan. Kandungan intervensi berbeza merentasi kajian; kebanyakan kajian menyertakan nasihat pemakanan dan nasihat mengenai aktiviti fizikal. Kajian menyusul peserta antara enam bulan hingga 30 bulan (purata tempoh susulan adalah 13.3 bulan).

Hasil utama

Kami mendapati bahawa bukti untuk kesan ke atas kejadian penyakit kardiovaskular adalah terhad, dengan hanya satu kajian yang melaporkannya. Tiada kajian yang disertakan melaporkan kematian dari sebarang sebab. Intervensi faktor risiko pelbagai mungkin menurunkan tekanan darah sistolik, tekanan darah diastolik, indeks jisim badan dan lilitan pinggang. Kami mendapati tiada perbezaan untuk pemakanan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran, kadar berhenti merokok, ukuran gula dalam darah selama dua hingga tiga bulan yang lalu, gula darah puasa, kolesterol lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL), kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan jumlah kolesterol. Tiada kajian yang disertakan melaporkan mengenai kemudaratan.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, kajian yang disertakan dalam ulasan ini mempunyai risiko bias dan terdapat variasi antara hasil kajian apabila kami menganalisis data. Penemuan kami harus diambil perhatian dengan berhati-hati.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information