Apakah isunya?
Buah pinggang mengawal keseimbangan garam dan air dalam badan melalui pengawalan keluaran air kencing. Apabila buah pinggang tidak lagi berfungsi, pengeluaran air kencing akan berhenti atau tidak mencukupi. Oleh itu, keseimbangan garam dengan air perlu diuruskan melalui dialisis. Doktor yang menjaga pesakit hemodialisis perlu memilih jumlah natrium yang sesuai untuk digunakan dalam cecair dialisis untuk membersihkan darah pesakit. Jika paras natrium dalam cecair ini terlalu tinggi, ia boleh menyebabkan pesakit merasa haus selepas rawatan, minum air yang berlebihan serta menjadi cecair berlebihan dalam rawatan seterusnya, yang mana ia boleh mengakibatkan kerosakan jantung. Sebaliknya, jika tahap natrium terlalu rendah dalam cecair dialisis, ia akan menyebabkan pesakit mengalami kekejangan dan penurunan tekanan darah yang tidak selesa serta berpotensi untuk mengakibatkan kerosakan jantung. Tahap sodium yang paling "sesuai" untuk cecair dialisis tidak diketahui.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami menggabungkan semua kajian tentang pesakit dirawat dengan hemodialisis di mana hasilnya telah dibandingkan antara orang yang menerima natrium tahap rendah dalam cecair dialisis berbanding dengan orang yang menerima tahap natrium yang tinggi.
Apa yang kami temui?
Kami mendapati 12 kajian yang membandingkan tahap natrium rendah dalam cecair dialisis dengan tahap natrium neutral ataupun tinggi. Banyak kajian telah dijalankan sebelum 2000, di mana mempelajari teknologi dan pesakit yang tidak selalu berkenaan dengan masa kini. Kebanyakannya adalah kajian jangka pendek, hanya berlangsung selama beberapa minggu. Penemuan utama kami dalam kajian ini adalah; bahawa natrium rendah dalam cecair dialisis meningkatkan tekanan darah serta mengurangkan pengambilan garam dan air di antara rawatan dialisis, di mana ia berkemungkinan merupakan perkara yang baik, tetapi meningkatkan bilangan kekejangan dan tekanan darah rendah yang dialami oleh pesakit semasa dialisis, yang pasti adalah perkara buruk. Kajian-kajian ini tidak memberikan maklumat yang mencukupi tentang pesakit yang terlibat untuk kami mengetahui pesakit kategori mana yang mungkin bermanfaat daripada cecair dialisis dengan tahap natrium rendah, serta pesakit yang mungkin mendapat kesan buruk. Kajian-kajian tersebut tidak memberikan maklumat muktamad tentang kesan tahap cecair dialisis natrium rendah pada struktur dan fungsi jantung, atau kualiti hidup pesakit serta kelangsungan hidup.
Kesimpulan
Kami tidak pasti sama ada natrium rendah dalam cecair dialisis meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan bagi orang di rawat dengan hemodialisis, kerana terdapat campuran kesan yang mungkin baik atau buruk, dan kajian penyelidikan yang ada tidak direka (atau direka dengan baik) untuk belajar mengenai kesan intervensi kepada jantung atau kepada keseluruhan kesihatan pesakit dan kesejahteraan. Kajian muktamad besar dan terkini adalah diperlukan untuk menilai kesan jangka sederhana serta panjang natrium tahap rendah dalam cecair dialisis, dan memberi maklumat yang lebih baik dalam pengamalan klinikal.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.