Latar belakang
Kanser epitelium ovari (EOC) berasal daripada sel-sel yang melapis permukaan ovari. Sebilangan besar wanita dengan jenis kanser ini mempunyai penyakit peringkat lanjut semasa dikenal pasti. Rawatan awal melibatkan pembedahan (penyingkiran sebanyak mungkin penyakit) diikuti dengan kemoterapi. Dalam beberapa kes kemoterapi diberikan untuk mengecutkan kanser sebelum pembedahan dijalankan. Tanpa mengambil kira jenis rawatan yang diterima, kanser akan kembali pada suatu ketika untuk sesetengah wanita. Rawatan selepas kanser berulang, lazimnya melibatkan kemoterapi. Pemilihan kemoterapi bergantung pada tempoh bebas kanser dari kemoterapi awal (ubat platinum). Sekiranya pengulangan kanser berlaku selepas enam bulan setelah menyelesaikan rawatan awal kemoterapi, wanita akan dirawat dengan ubat platinum. Tetapi sekiranya kanser tersebut berulang dalam masa enam bulan, wanita diberi rawatan dengan ubat bukan platinum, kerana ubat platinum besar kemungkinan tidak mungkin berfungsi lagi. Akhirnya, sebahagian besar wanita akan mempunyai ketahanan terhadap sebarang ubat kemoterapi. Sebilangan wanita juga mengalami kesan sampingan yang berkaitan dengan ubat-ubatan dan kualiti hidup (QoL) yang buruk akibat rawatan. Oleh itu, terdapat keperluan untuk rawatan ubat yang lebih baru dengan kurang kesan sampingan. Dalam konteks ini, terapi hormon telah dicuba. Agonis hormon pelepasan hormon luteinising (LHRH) adalah hormon yang berfungsi dengan memberitahu kelenjar pituitari yang terletak di otak untuk berhenti menghasilkan hormon ini dan sebagai akibatnya sel-sel tumor di ovari, yang mungkin bergantung pada hormon ini, tidak dapat dirangsang. Agonis LHRH telah digunakan dalam EOC berulang dan beberapa kajian menunjukkan tahap keracunan yang rendah dengan hormon-hormon tersebut.
Soalan ulasan
Kami menjalankan ulasan ini untuk menilai sama ada terapi hormon (agonis LHRH) adalah berkesan dan selamat berbanding dengan kemoterapi atau plasebo dalam wanita dengan EOC berulang.
Penemuan utama
Kami mencari pangkalan data elektronik dan sumber lain untuk ujian rawak terkawal (RCT) yang membandingkan agonis LHRH dengan kemoterapi atau plasebo dalam wanita dengan EOC berulang. Dua RCT telah dikenal pasti. Oleh kerana perbandingannya berbeza, ia dilaporkan secara berasingan. Bukti yang ada tidak menunjukkan peningkatan dalam kelangsungan hidup keseluruhan dan kelangsungan hidup tanpa kemerosotan penyakit pada enam dan 12 bulan dengan terapi hormon (LHRH). Juga, kesan sampingan utama (hematologi dan neurologi) tidak berbeza secara statistik antara kedua-dua kumpulan rawatan, tetapi dilaporkan tidak lengkap. Data tentang kualiti hidup tidak dilaporkan dalam mana-mana kajian.
Kualiti bukti
Pada masa ini, kualiti bukti adalah sangat rendah mengenai keberkesanan dan keselamatan agonis LHRH dalam wanita yang kansernya berulang dalam tempoh enam bulan daripada rawatan awal kemoterapi platinum.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rsciucd.edu.my