Soalan ulasan
Kami telah mengulas keberkesanan klinikal dan keselamatan terapi antibiotik untuk orang dewasa dengan neurosifilis.
Latar belakang
Sifilis adalah keadaan yang disebabkan oleh mikro-organisma yang dipanggil Treponema pallidum. Pada mana-mana tahap sifilis individu boleh mendapat neurosifilis, yang merupakan jangkitan pada sistem saraf pusat (otak dan saraf tunjang). Jangkitan ini boleh merebak ke seluruh sistem saraf pusat serta menyebabkan komplikasi dalam otak dan tulang belakang. Ia mungkin berlaku dalam sifilis fasa awal atau lewat dan ia boleh menyebabkan akibat yang teruk kepada pesakit. Penyelidikan menunjukkan bahawa orang yang juga dijangkiti HIV adalah lebih cenderung untuk mendapat neurosifilis. Antibiotik digunakan untuk merawat neurosifilis. Pilihan pertama ialah kristal penisilin akueus. Namun, dalam beberapa kes, seperti alergi terhadap penisilin, antibiotik lain boleh digunakan.
Ciri-ciri kajian
Kami telah mencari penulisan perubatan sehingga April 2019 untuk kajian-kajian yang menilai keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan yang dicadangkan untuk pengurusan neurosifilis dalam kalangan orang dewasa. Terdapat hanya satu kajian klinikal secara rawak yang memenuhi kriteria kami (pesakit dimasukkan ke dalam kumpulan secara rawak untuk menerima rawatan yang berbeza). Kajian ini melibatkan 36 orang dewasa dengan kedua-dua sifilis dan HIV, kebanyakannya adalah lelaki dengan median usia 34 tahun. Kajian tersebut membandingkan dua ubat: ceftriaxone (2 g satu kali sehari) dan penisilin G (4 juta unit setiap 4 jam untuk 10 hari). Ia dibiayai oleh satu syarikat farmaseutikal.
Penemuan utama
Kajian tersebut melaporkan penyembuhan serologi, yang merupakan penurunan tahap jangkitan yang ditunjukkan oleh analisis makmal mengenai cecair dalam otak dan saraf tunjang (dikenali sebagai cecair serebrospinal), serta penyembuhan klinikal, yang merupakan ketiadaan tanda-tanda atau gejala-gejala neurosifilis. Hanya tiga daripada 18 peserta yang menerima ceftriaxone dan dua daripada 18 peserta yang menerima penisilin G mencapai penyembuhan serologi; dan lapan daripada 18 peserta yang menerima ceftriaxone dan dua daripada 18 peserta yang menerima penisilin G mencapai penyembuhan klinikal.
Bukti-bukti adalah tidak mencukupi untuk membenarkan kami menyatakan apakah terdapat perbezaan antara rawatan dengan ceftriaxone atau Penisilin G untuk neurosifilis dalam orang dewasa. Hasil yang dinilai mungkin akan berubah apabila terdapat kajian yang direka dengan lebih baik. Selain itu, kami tidak mengenal pasti sebarang bukti yang berkaitan dengan keberkesanan dan keselamatan ubat lain yang dicadangkan untuk menguruskan keadaan ini.
Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah sangat rendah untuk hasil penyembuhan serologi dan penyembuhan klinikal kerana masalah dengan reka bentuk dan kaedah kajian, dan kerana terdapat hanya sedikit peserta.
Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.