Apakah isunya?
Semasa ini, jangkitan virus kronik kedua terkerap di dunia ialah jangkitan virus hepatitis C (HCV), terutamanya sebelum terapi ubat antivirus bertindaklangsung diperkenalkan. HCV mengakibatkan penyakit hati kronik serta gejala ekstra-hepatik (organ selain hati), salah satunya yang paling kerap ialah cryoglobulinemia campuran. Imunoglobulin yang termendap pada suhu rendah (bawah suhu 4ºC) dan melarut semula selepas pemanasan pada suhu 37ºC diistilahkan sebagai ‘cryoglobulins’ ("cryo" berasal daripada berkenaan Yunani bererti sejuk). Cryoglobulin menyebabkan kerosakan organ lewat dua mekanisma, iaitu samada menerusi sindrom hiperviskositi ataupun lewat pengantara imun. Hal ini menyebabkan vaskulitis cryoglobulinemik, yang merupakan manifestasi keradangan saluran kecil dan sederhana yang disebabkan oleh protein patogenik yang diistilahkan IgM dan juga aktiviti faktor rheumatoid yang dihasilkan oleh penggandaan sel B. Kompleks imun yang terbentuk termendap terutamanya di lapisan kulit, sendi, buah pinggang dan gentian saraf pinggiran (periferi). Kami ingin menilai keberkesanan sebarang rawatan sedia ada untuk kerosakan kulit, sendi, buah pinggang atau gentian saraf pinggiran yang berlaku ekoran jangkitan HCV.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mengenalpasti sepuluh kajian rawak terkawal (RCT) melibatkan 394 peserta yang memenuhi kriteria penyertaan. Ulasan ini melihat tiga jenis strategi untuk mengawal penyakit HCV dan juga menyiasat keberkesanannya terhadap beberapa dapatan jangka pendek dan jangka panjang, iaitu: penghapusan jangkitan HCV menerusi penggunaan interferon atau agen antiviral tindaklangsung baharu, penyingkiran cryoglobulin lewat cara aferesis imunoserap, dan penggalangan penggandaan klon sel B lewat penggunaan rituximab. Strategi-strategi ini dapat diterapkan dalam kalangan orang dewasa, dan pada kebiasaannya, strategi ini digabung dengan agen antivirus.
Apakah yang telah kami temui?
Memandangkan keterbatasan yang disebabkan kurangnya kajian yang menyelidiki agen antivirus tindaklangsung baharu, kita masih menemui beberapa faedah dari segi pembaikan penyakit kulit, saraf atau buah pinggang apabila rituximab, rawatan antivirus dengan IFN atau aferesis imunoserap digunakan berbanding ubat imunotindas yang lain. Namun, ketiga-tiga strategi ini tidak dibandingkan secara langsung.
Kesimpulan
Untuk merawat cryoglobulinemia campuran terkait HCV, adalah disyorkan untuk menghapuskan jangkitan HCV menggunakan sebarang rawatan antivirus (dalam ulasan ini kami hanya menilai rawatan interferon kerana ketiadaan RCT yang menyelidiki antivirus baharu). Bergantung pada jangkauan penyakit cryoglobulinemia campuran HCV yang dihidapi, adalah dianjurkan untuk menggabung rawatan antivirus dengan agen penghapusgandaan klon sel B seperti rituximab atau penyingkiran cryoglobulin menggunakan aferesis imunoserap kerana gabungan strategi ini dapat menjurus kepada penyembuhan kecederaan kulit, sendi, buah pinggang atau gentian saraf pinggiran yang lebih cepat dan tahan lama. Kajian dengan ubat antivirus baharu amat diperlukan untuk menjurus halatuju rawatan.
Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my