Soalan ulasan: penyelidik mengulas kesan latihan lengan tangan terhadap gejala sesak nafas dan kualiti hidup pada orang yang mempunyai penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).
Latar belakang: Orang yang mempunyai COPD sering mengalami kesukaran untuk melakukan senaman lengan tangan kerana sesak nafas. Akibatnya, latihan senaman lengan tangan sering digunakan untuk meningkatkan kemampuan senaman lengan tangan; tetapi, kesan latihan ini terhadap sesak nafas dan kualiti hidup masih tidak jelas. Penyelidik ingin memeriksa senaman lengan tangan selama sekurang-kurang empat minggu dan penyelidik menganalisis dengan tiga cara: a) Latihan senaman lengan tangan berbanding tanpa latihan lengan tangan atau intervensi palsu; b) gabungan latihan lengan tangan dan latihan kaki berbanding latihan kaki sahaja; dan c) latihan lengan tangan berbanding latihan lengan tangan jenis lain (seperti latihan ketahanan lengan tangan untuk melatih kekuatan lengan tangan).
Ciri-ciri kajian: Lima belas kajian meliputi 425 peserta dengan COPD. Namun demikian, hanya 12 kajian menyediakan maklumat yang mencukupi untuk analisis merentasi satu atau lebih tiga perbandingan yang diterangkan di atas.
Keputusan utama: apabila latihan lengan tangan dibandingkan dengan tiada latihan lengan tangan atau intervensi palsu pada orang yang mempunyai COPD, terdapat peningkatan kecil dalam sesak nafas. Namun demikian, penambahbaikan ini tidak dapat dilihat apabila kajian dengan gabungan latihan lengan tangan dan kaki dibandingkan dengan latihan kaki sahaja. Tiada kajian telah menilai sama ada sesak nafas bertambah baik dengan jenis latihan lengan tangan yang berlainan. Latihan lengan tangan tidak mempunyai kesan terhadap kualiti hidup dalam ketiga-tiga perbandingan. Apabila latihan ketahanan lengan tangan diperiksa secara khusus, terdapat peningkatan yang dilihat pada kemampuan lengan bergerak dan mengangkat beban ringan berbanding tanpa latihan. Kesan-kesan ini tidak dilihat dengan latihan kekuatan lengan tangan.
Kualiti bukti: kualiti kajian yang disertakan adalah rendah hingga sederhana kerana jumlah peserta yang kecil (dari 12 hingga 43 peserta setiap kajian), hilang maklumat mengenai kaedah kajian, dan data yang tidak lengkap mengenai hasilnya.
Kesimpulan: Sesetengah bentuk latihan lengan tangan boleh memberikan peningkatan kecil kepada sesak nafas tetapi tidak meningkatkan kualiti hidup orang dengan COPD. Lebih khusus lagi, latihan ketahanan lengan tangan dapat meningkatkan keupayaan lengan untuk memindahkan beban ringan pada orang dengan COPD.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com