Matlamat ulasan
Matlamat sintesis bukti kualitatif Cochrane ini adalah untuk mengenal pasti faktor yang mempengaruhi penyediaan penjagaan oleh pembantu kelahiran terlatih. Untuk menjawab soalan ini, kami mencari dan menganalisa kajian kualitatif tentang pandangan, pengalaman dan tingkah laku pembantu kelahiran terlatih.
Sintesis ini melengkapkan satu lagi ulasan Cochrane yang menilai kesan strategi untuk menggalakkan penggunaan kemudahan penjagaan kesihatan wanita semasa bersalin.
Mesej utama
Banyak faktor mempengaruhi penjagaan yang diberikan oleh pembantu kelahiran yang terlatih kepada ibu-ibu semasa bersalin. Ini termasuk akses kepada latihan dan penyeliaan; bilangan kakitangan dan beban kerja; gaji dan keadaan hidup; dan akses kepada kemudahan penjagaan kesihatan yang lengkap dan tersusun dengan air, elektrik dan pengangkutan. Faktor lain yang mungkin memainkan peranan termasuklah kewujudan kerja berpasukan, kepercayaan, kerjasama, dan komunikasi antara pekerja kesihatan dan dengan ibu. Bidan terlatih melaporkan banyak masalah yang berkaitan dengan faktor ini.
Apa yang kami pelajari dalam sintesis ini?
Di negara berpendapatan rendah dan sederhana, ramai ibu masih meninggal dunia semasa bersalin. Wanita digalakkan bersalin di fasiliti kesihatan dan bukannya di rumah supaya mereka boleh mendapat penjagaan daripada pembantu kelahiran yang terlatih. Pembantu kelahiran yang terlatih adalah pekerja kesihatan seperti bidan, doktor, atau jururawat yang dilatih untuk menguruskan kehamilan dan bersalin normal, dan merujuk ibu dan bayi yang baru lahir apabila timbul komplikasi.
Dengan meneroka pandangan, pengalaman dan tingkah laku pembantu kelahiran yang mahir, sintesis ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor yang boleh mempengaruhi keupayaan mereka untuk menyediakan penjagaan yang berkualiti.
Keputusan utama
Kami menyertakan 31 kajian yang dijalankan di Afrika, Asia dan Amerika Latin. Peserta terdiri daripada pembantu kelahiran yang terlatih termasuk doktor, bidan, jururawat, jururawat bantuan dan pengurus mereka.
Sintesis kami menunjukkan beberapa faktor yang mempengaruhi penyediaan penjagaan berkualiti oleh pembantu kelahiran terlatih. Faktor-faktor berikut adalah berdasarkan bukti yang dinilai sebagai berkeyakinan sederhana hingga tinggi. Atendan kelahiran yang mahir melaporkan bahawa mereka kadangkala mempunyai latihan yang tidak mencukupi semasa pendidikan mereka atau selepas mereka mula bekerja. Apabila kemudahan kekurangan kakitangan, beban kerja pembantu kelahiran yang mahir boleh meningkat, ia boleh menjadi sukar untuk menyediakan penyeliaan, dan ibu boleh menerima penjagaan yang lebih lemah. Di samping itu, pembantu kelahiran yang mahir tidak selalu percaya bahawa gaji dan faedah mereka mencerminkan tugas dan tanggungjawab mereka serta risiko peribadi yang mereka pikul. Bersama-sama dengan kehidupan dan keadaan kerja yang miskin, isu-isu ini boleh menyebabkan tekanan dan menjejaskan kehidupan keluarga pembantu kelahiran yang mahir. Sesetengah pembantu kelahiran mahir merasakan bahawa pengurus tidak mempunyai kapasiti dan kemahiran, dan mereka berasa tidak disokong apabila kebimbangan tempat kerja mereka tidak ditangani.
Kemungkinan punca kekurangan kakitangan termasuk masalah dengan pengambilan dan penugasan pekerja kesihatan ke kemudahan kesihatan; kekurangan dana; sistem pengurusan dan birokrasi yang lemah; dan gaji rendah. Pembantu kelahiran yang terlatih dan pengurus mereka mencadangkan faktor yang boleh membantu merekrut, mengekalkan dan memotivasikan pekerja kesihatan, dan meningkatkan kualiti kerja mereka; ini termasuk perumahan berkualiti baik, elaun untuk kerja tambahan, percutian berbayar, pendidikan berterusan, penilaian yang betul terhadap kerja mereka dan ganjaran.
Keupayaan pembantu kelahiran yang terlatih untuk menyediakan penjagaan berkualiti juga dihadkan oleh kekurangan peralatan, ubat-ubatan dan bekalan; darah dan infrastruktur untuk menguruskan pemindahan darah; bekalan elektrik dan air; dan ruang dan kemudahan yang mencukupi di wad bersalin. Faktor-faktor tersebut dilihat mengurangkan semangat pembantu kelahiran yang terlatih, meningkatkan beban kerja dan risiko jangkitan, dan menjadikan mereka kurang cekap dalam kerja mereka. Kekurangan pengangkutan kadangkala menyukarkan pembantu kelahiran yang terlatih untuk merujuk wanita ke tahap penjagaan yang lebih tinggi. Selain itu, persepsi negatif wanita terhadap sistem kesihatan boleh menyebabkan mereka enggan menerima rujukan.
Kami mengenal pasti beberapa faktor lain yang juga mungkin telah menjejaskan kualiti penjagaan, yang berdasarkan penemuan yang dinilai sebagai keyakinan rendah atau sangat rendah. Kerja berpasukan yang lemah dan kekurangan kepercayaan dan kerjasama antara pekerja kesihatan nampaknya mempengaruhi penjagaan secara negatif. Sebaliknya, kerjasama dan kerja berpasukan yang baik nampaknya meningkatkan motivasi atendan kelahiran yang terlatih, kebolehan mereka membuat keputusan dan kualiti penjagaan. Beban kerja pembantu kelahiran terlatih dan kekurangan kakitangan mempengaruhi interaksi mereka dengan ibu. Di samping itu, komunikasi yang lemah menjejaskan kepercayaan antara pembantu kelahiran terlatih dan ibu.
Sejauh manakah ulasan ini dikemas kini?
Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sebelum November 2016.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s Univesity, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my