Latar belakang
Ulser tekanan, yang juga dikenali sebagai kudis katil atau kudis tekanan, sering dihidapi oleh mereka yang sukar untuk bergerak dan menghabiskan banyak masa duduk ataupun baring. Ulser tekanan boleh berkisar daripada sekecil tompok pudar, kulit yang sakit, hinggalah sebagai luka terbuka yang memerlukan masa yang lama untuk pilih. Ulser tekanan mudah untuk terkena jangkitan dan memberikan impak yang besar kepada kesihatan dan kesejahteraan pesakit. Untuk menghentikan ulser ini daripada terbentuk dalam kalangan mereka yang berisiko, kakitangan penjagaan kesihatan perlulah mempunyai pengetahuan yang jelas bagi mencegah isu ini. Adalah sangat penting untuk kita fahami apa maklumat yang diperlukan oleh kakitangan penjagaan kesihatan, bagaimana maklumat ini boleh disampaikan kepada mereka dengan baik dan sama ada pendidikan boleh mencegah ulser tekanan daripada terbentuk.
Persoalan ulasan
Kami mengulas tentang bukti kesan pendidikan pakar penjagaan kesihatan terhadap pencegahan ulser tekanan. Kami memeriksa semua jenis pendidikan tanpa mengira bagaimana pendidikan ini disampaikan asalkan pendidikan ini bertujuan untuk mencegah ulser tekanan. Kakitangan penjagaan kesihatan melibatkan semua kakitangan yang bertugas dalam usaha mencegah ulser tekanan, tidak kira daripada apa jua latar belakang profesional. Persekitaran penjagaan kesihatan yang diberikan termasuklah jabatan pesakit dalam dan luar hospital, klinik komuniti, rumah pesakit itu sendiri, dan rumah atau kediaman jagaan.
Apa yang kami temui
Pada Jun 2017, kami telah mencari kajian yang menilai kesan pendidikan pakar penjagaan kesihatan terhadap pencegahan ulser tekanan, dan menjumpai lima kajian yang relevan. Dua kajian tersebut mengkaji impak pendidikan terhadap pencegahan ulser tekanan. Kami kurang pasti sama ada pendidikan pakar penjagaan kesihatan memberikan apa-apa kesan terhadap bilangan ulser tekanan yang baru terbentuk. Hal ini berlaku kerana kepastian tentang bukti kajian-kajian ini amatlah rendah.
Tiga kajian mengkaji impak pendidikan terhadap pengetahuan kakitangan tentang pencegahan ulser tekanan. Kajian-kajian ini membandingkan antara: pendidikan dengan tanpa pendidikan; gabungan beberapa komponen dalam intervensi pendidikan; dan pendidikan yang disampaikan melalui format yang berbeza. Kami kurang pasti sama ada pendidikan memberikan apa-apa kesan terhadap pengetahuan kakitangan mengenai pencegahan ulser tekanan, atau terhadap bilangan ulser tekanan yang baru terbentuk. Hal ini berlaku kerana kepastian tentang bukti kajian-kajian ini amatlah rendah. Tiada kajian yang mengkaji impak pendidikan terhadap rawatan yang diberikan oleh pakar kesihatan. Hanya ada satu kajian yang meneroka hasil sekunder yang penting, iaitu: keparahan ulser tekanan, pandangan pesakit terhadap kualiti hidup mereka dan pandangan penjaga terhadap kemampuan pesakit untuk menjalankan tugas seharian tanpa bergantung kepada sesiapa. Walau bagaimanapun, maklumat yang diberikan dalam kajian tersebut tidak mencukupi untuk membolehkan kami melakukan penilaian bebas terhadap hasil-hasil tersebut.
Kami memeriksa kepastian tentang bukti dengan menggunakan pendekatan GRADE dan menyimpulkan bahawa kesemua bukti tersebut mempunyai kepastian yang amat rendah. Oleh itu kami tidak dapat menentukan sama ada pendidikan dapat mencegah ulser tekanan. Kami juga tidak dapat menentukan sama ada pendidikan memberikan kesan kepada pengetahuan sedia ada kakitangan penjagaan kesihatan tentang pencegahan ulser tekanan.
Bukti ulasan ini adalah terkini sehingga 12 Jun 2017.
Diterjemahkan oleh Muhammad Zhafran bin Ahmad Dirsan. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my