Imunoterapi untuk kanser buah pinggang lanjut

Soalan ulasan

Kanser buah pinggang jarang dapat disembuhkan apabila ia telah merebak ke organ lain pada masa diagnosis. Ejen sasaran pada masa ini dianggap sebagai rawatan standard untuk kanser buah pinggang lanjut yang telah merebak ke organ lain. Ulasan ini mengkaji kajian-kajian klinikal yang telah membandingkan secara langsung imunoterapi atau terapi gabungan dengan terapi standard semasa.

Latar belakang

Sebelum penggunaan agen sasaran baru, ubat-ubatan yang meningkatkan tindak balas imun terhadap kanser dengan cara yang tidak khusus (imunoterapi) adalah bentuk rawatan yang paling banyak digunakan untuk penghidap kanser buah pinggang yang telah merebak ke organ lain. Ejen imunoterapeutik yang lebih baru, termasuk vaksin dan dipanggil 'perencat pusat pemeriksaan,' telah dihasilkan untuk menyasar sistem imun badan secara khusus dan membolehkannya mengenali dan menyerang sel-sel kanser dengan lebih khusus. Dalam ulasan ini, kami menilai semua jenis imunoterapi atau terapi gabungan dengan membandingkannya dengan terapi standard semasa.

Ciri-ciri kajian

Carian sistematik sehingga akhir Oktober 2016 mengenal pasti lapan kajian yang melihat empat jenis imunoterapi yang berbeza dalam 4732 orang. Kajian hanya dimasukkan jika pesakit dirawakkan kepada bentuk imunoterapi yang disertakan dalam ulasan ini atau bentuk standard terapi sasaran. Satu kajian telah dibiayai oleh institusi awam manakala semua yang lain disokong oleh syarikat ubat.

Peserta kajian secara amnya mewakili orang yang menghidap kanser buah pinggang lanjut. Majoriti orang telah membuang kanser buah pinggang mereka sebelum memulakan rawatan. Kami membandingkan kajian yang mempunyai orang yang sebelum ini menerima ubat standard (821 peserta) dengan orang yang tidak (3911 peserta). Semua kajian melaporkan hasil utama yang kami ingini; peluang untuk bertahan lebih lama termasuk kelangsungan hidup selama satu tahun. Kami juga memberi tumpuan kepada kekerapan kesan sampingan rawatan yang teruk, kualiti hidup dan kelewatan terjadinya penyakit yang semakin teruk.

Keputusan utama

Interferon-α adalah pilihan terapi yang paling biasa digunakan sebelum era terapi sasaran. Dua kajian dengan 1166 peserta membandingkan interferon-α sahaja (monoterapi) kepada terapi standard yang disasarkan. Interferon-α mungkin kurang berkesan berbanding dengan terapi sasaran yang diuji yang dipanggil sunitinib dan temsirolimus. Pesakit dengan monoterapi interferon-α mungkin mempunyai masa yang lebih singkat untuk kemudaratan kanser. Mereka mungkin mempunyai kualiti hidup yang sama dan kesan sampingan rawatan yang lebih teruk.

Menambah temsirolimus kepada interferon-α mungkin tidak meningkatkan kelangsungan hidup berbanding dengan temsirolimus sahaja, tetapi boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lebih besar (satu kajian).

Dua kajian membandingkan interferon-α kepada gabungan interferon-α dan bevacizumab dalam 1381 peserta yang tidak dirawat sebelum ini. Terdapat sedikit peningkatan kadar kematian dengan kesan sampingan utama yang mungkin lebih sedikit untuk orang yang dirawat dengan interferon-α sahaja.

Dua kajian telah menilai vaksin. Vaksin mungkin boleh membawa kepada kadar kematian dan kesan sampingan yang serupa dalam orang yang menghidap kanser buah pinggang peringkat lanjut.

Bagi pesakit yang telah menjalani rawatan sistemik, satu kajian dengan nivolumab, perencat pusat pemeriksaan yang baru, telah meningkatkan purata kelangsungan hidup lebih daripada lima bulan apabila dibandingkan dengan terapi standard sasaran, everolimus. Kesannya mungkin disertai dengan kualiti hidup yang lebih baik dan kurang kesan sampingan utama.

Kualiti bukti

Kami kurang yakin terhadap hasil kajian yang telah kami analisa (bukti berkualiti sederhana atau rendah) kerana pesakit dan doktor yang merawat selalunya tidak dibutakan terhadap rawatan dan hanya melibatkan jumlah pesakit yang kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information