Latar belakang
Orang yang mengalami kegagalan jantung mempunyai keupayaan yang rendah untuk melakukan latihan fizikal di mana ini memberikan impak negatif terhadap kesihatan dan kualiti hidup mereka. Kajian terbaru menunjukkan bahawa rehabilitasi jantung berasaskan senaman (CR) boleh meningkatkan keupayaan dan kualiti hidup mereka yang mempunyai alat bantuan ventrikel implan (VADs), di mana ia merupakan sejenis pam mekanikal yang menyokong fungsi jantung. Oleh itu, adalah penting untuk mengkaji semula secara sistematik kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta ditugaskan untuk berada dalam kumpulan rawatan secara rawak) untuk menentukan faedah dan kemudaratan CR berasaskan latihan kepada mereka yang diimplankan VAD.
Tujuan
Untuk menilai kesan-kesan CR berasaskan latihan kepada mereka yang telah diimplankan VAD.
Kaedah
Kami mencari penerbitan saintifik untuk kajian rawak terkawal untuk menilai keberkesanan latihan kepada mereka yang mengalami kegagalan jantung yang mempunyai implan VAD berbanding peserta yang menerima rawatan biasa, iaitu melibatkan satu atau lebih jenis rawatan. Kami mengecualikan peserta yang mempunyai jantung buatan total. Bukti adalah terkini sehingga 3 Oktober 2017.
Keputusan
Kami hanya memasukkan dua kajian rawak terkawal dan seramai 40 peserta dalam ulasan ini. CR berasaskan latihan senaman ini terdiri daripada latihan aerobik atau rintangan atau kedua-duanya tiga kali seminggu selama enam hingga lapan minggu. Dua perkara buruk yang serius (iaitu peserta yang tidak menyelesaikan kajian disebabkan oleh jangkitan) berlaku dalam salah satu daripada dua kajian tersebut. Tambahan lagi, empat peserta dalam setiap kumpulan kajian hadir ke jabatan kecemasan, walaupun peserta ini menamatkan kajian tersebut. Kajian tidak menilai dapatan punca kematian, rawatan, pemindahan jantung, dan aspek kos. Oleh kerana bukti kualiti yang sangat rendah, keberkesanan CR berasaskan latihan terhadap kualiti hidup adalah tidak pasti.
Kualiti bukti
Kami menilai mutu bukti untuk kualiti hidup sebagai sangat rendah atas sebab usia peserta yang muda, pembutaan yang tidak mencukupi, bilangan peserta yang kecil, dan ketidaktepatan akibat jurang keyakinan yang luas. Kesan CR berasaskan latihan untuk mereka yang mempunyai VAD adalah tidak jelas.
Kesimpulan
Bukti terkini tidak mencukupi untuk menilai faedah dan kemudaratan CR berasaskan latihan untuk mereka yang mempunyai VAD berbanding jagaan biasa. Bilangan bukti kajian rawak terkawal sangat terhad dan berkualiti sangat rendah. Tambahan lagi, tempoh latihan adalah sangat singkat. Kajian rawak terkawal yang berkualiti tinggi diperlukan untuk mengumpul data mengenai kejadian (kematian dan kemasukan ke hospital), hasil dan nilai yang berkaitan dengan pesakit (termasuk kualiti hidup), dan kos.
Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi linoby@uitm.edu.my