Kortikosteroid sistemik untuk menambahbaik gejala dalam kanak-kanak dengan jangkitan telinga tengah akut

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai kesan kortikosteroid yang diberi melalui mulut atau suntikan untuk jangkitan telinga tengah akut (otitis media akut (AOM)) dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya dalam menambahbaik gejala seperti sakit telinga, demam, kerengsaan, kurang tidur, dan kurang selera makan. Kami juga melihat kesan sampingan kortikosteroid.

Latar belakang

Otitis media akut adalah lazim dalam kalangan kanak-kanak dan menyebabkan sakit telinga dan simptom tidak spesifik seperti demam, kerengsaan, dan pekak. Ia sering dirawat dengan antibiotik, walaupun sakit telinga biasanya pulih dalam masa dua hari, dan antibiotik hanya membantu sedikit gejala-gejala. Rawatan lain (seperti ubat belian kaunter antihistamin dan dekongestan) tidak banyak membantu.

Kortikosteroid sering diguna untuk mengurangkan keradangan dalam kalangan kanak-kanak untuk penyakit lain, oleh itu juga dapat membantu gejala AOM, yang merupakan proses keradangan. Kami menyiasat sama ada menggunakan kortikosteroid lebih baik atau lebih teruk daripada tanpa sebarang ubatan dalam menambahbaik gejala yang berkaitan dengan AOM.

Tarikh carian

Bukti kami adalah terkini sehingga 20 Februari 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan dua kajian yang melibatkan 252 kanak-kanak dengan AOM, berusia dari tiga bulan hingga enam tahun, yang menerima penjagaan ambulatori di hospital. Kanak-kanak dirawat dengan suntikan antibiotik dan sama ada kortikosteroid oral atau plasebo (rawatan tanpa kesan). Dalam satu kajian, cecair dari telinga tengah dikumpul dengan memasukkan jarum melalui gegendang telinga untuk mengukur tahap keradangan.

Sumber pembiayaan kajian

Institut Kesihatan Nasional (NIH) dan Pusat Sumber Penyelidikan Kebangsaan, NIH, Perkhidmatan Kesihatan Awam AS membiayai kedua-dua kajian. Syarikat-syarikat farmaseutikal menyediakan ubat tetapi tidak menyumbang sebarang sokongan saintifik atau kewangan lain.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Kortikosteroid tidak memberikan perbezaan yang ketara dalam menambahbaik gejala dan keradangan gegendang telinga pada hari 5 dan hari 14, tetapi kami tidak pasti akan kesan ini kerana bilangan kecil kanak-kanak dalam kajian-kajian tersebut. Tiada perbezaan yang ketara antara kumpulan kortikosteroid dan plasebo dari segi pemulihan cecair pada telinga tengah kanak-kanak (1, 2, dan 3 bulan) dan pengalaman episod baharu AOM (pada 1, 2, 3 bulan, dan 4 dan 6 bulan ). Kedua-dua kajian tidak melaporkan pengurangan tempoh gejala keseluruhan atau spesifik, pecah gegendang telinga, kejadian keradangan telinga tengah di telinga satu lagi berikutan jangkitan telinga semasa, atau komplikasi yang serius. Hanya satu kajian melaporkan kesan sampingan keseluruhan yang dikenal pasti semasa kajian (contohnya mengantuk, mulut kering, ruam lampin, rasa gugup).

Kami tidak dapat membuat kesimpulan mengenai kesan kortikosteroid terhadap AOM dalam kalangan kanak-kanak.

Kualiti bukti yang dimasukkan dalam ulasan ini adalah rendah hingga sangat rendah kerana hanya beberapa kanak-kanak terlibat dalam dua kajian yang kecil. Kami tidak pasti sama ada atau tidak kortikosteroid bermanfaat untuk melegakan sakit dari AOM.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information