Apa itu minuman yang mengandungi gula-pemanis?
Minuman yang mengandungi gula-pemanis (SSBs) adalah minuman sejuk dan panas dengan gula tambahan. SSBs adalah minuman ringan bukan-diet, soda biasa, teh yang berais, minuman sukan, minuman tenaga, air perahan buah-buahan, air manis, dan teh dan kopi yang manis.
Mengapa SSBs merupakan topik kesihatan yang penting?
Kajian menunjukkan bahawa orang yang minum banyak SSBs sering menambah berat badan. Meminum SSBs dengan banyak juga boleh meningkatkan risiko penyakit kencing manis, penyakit jantung, dan kerosakan gigi. Doktor juga mengesyorkan bahawa kanak-kanak, remaja dan orang dewasa perlu mengurangkan pengambilan SSBs. Kerajaan, perniagaan, sekolah dan tempat kerja telah mengambil pelbagai langkah untuk menyokong pilihan minuman yang lebih sihat.
Apakah tujuan ulasan ini?
Kami ingin mengetahui sama ada langkah yang diambil setakat ini telah berjaya dalam membantu orang ramai untuk mengurangkan pengambilan SSBs untuk meningkatkan kesihatan mereka. Kami memfokuskan pada langkah yang mengubah persekitaran di mana orang ramai membuat pilihan jenis minuman. Kami tidak melihat kajian ke atas program pendidikan atau ke atas cukai SSB, kerana ini diperiksa dalam ulasan berasingan. (Namun, kami memeriksa kenaikan harga SSB yang tidak disebabkan oleh cukai.) Kami mencari semua kajian yang sedia ada yang memenuhi kriteria yang jelas untuk menjawab soalan ini. Kajian ini menggambarkan keadaan bukti sehingga Januari 2018.
Apakah kajian yang kami cari?
Kami mendapati 58 kajian, yang melibatkan lebih daripada satu juta orang dewasa, remaja dan kanak-kanak. Kebanyakan kajian berlangsung selama satu tahun, dan telah dilakukan di sekolah, kedai atau restoran.
Beberapa kajian menggunakan kaedah yang tidak begitu dipercayai. Sebagai contoh, dalam beberapa kajian peserta hanya ditanya berapa banyak SSB yang mereka minum, yang tidak boleh dipercayai, kerana orang ramai kadangkala lupa berapa banyak SSB yang telah mereka minum. Oleh itu, beberapa penemuan ulasan kami boleh berubah apabila kajian yang lebih banyak dan lebih baik boleh didapati.
Apakah kajian ini memberitahu kami?
Kami telah menemui beberapa bukti bahawa beberapa langkah yang dilaksanakan untuk membantu orang ramai mengurangkan pengambilan SSBs telah berjaya, termasuk yang berikut:
▪ Label yang mudah difahami, seperti label lampu isyarat, dan label yang menunjukkan nilai tahap kesihatan minuman dengan bintang atau nombor.
▪ Menghadkan kebolehdapatan SSB di sekolah (cth menggantikan SSBs dengan air di kafeteria-kafeteria sekolah).
▪ Peningkatan harga SSBs di restoran, kedai dan pusat riadah.
▪ Menu untuk kanak-kanak di restoran yang merangkumi minuman yang lebih sihat sebagai minuman piawai.
▪ Promosi minuman yang lebih sihat di pasaraya.
▪ Manfaat makanan kerajaan (cth setem makanan) yang tidak boleh digunakan untuk membeli SSBs.
▪ Kempen komuniti yang memberi tumpuan kepada SSBs.
▪ Langkah yang meningkatkan kebolehdapatan minuman rendah kalori di rumah, misalnya melalui penghantaran ke rumah air botol dan minuman diet.
Kami juga mendapati beberapa bukti yang meningkatkan kebolehdapatan air minuman dan minuman diet di rumah boleh membantu orang ramai untuk menurunkan berat badan.
Terdapat juga langkah-langkah lain yang mungkin mempengaruhi berapa banyak SSB diminum, tetapi untuk hal ini bukti yang ada adalah kurang pasti.
Sebilangan kajian mendapati bahawa langkah-perkara yang diambil boleh mempunyai kesan yang tidak diingini dan boleh jadi negatif. Beberapa kajian melaporkan bahawa keuntungan daripada kedai dan restoran menurun apabila langkah-langkah tersebut dilaksanakan, tetapi kajian lain menunjukkan bahawa keuntungan meningkat atau kekal sama. Kanak-kanak yang mendapatkan air minuman secara percuma di sekolah mungkin kurang minum susu. Sesetengah kajian melaporkan bahawa orang ramai tidak berpuas hati dengan langkah tersebut.
Kami juga melihat kajian ke atas susu yang mengandungi gula. Kami mendapati bahawa hadiah kecil bagi kanak-kanak yang memilih susu biasa di kafeteria sekolah mereka, serta label emotikon, boleh membantu kanak-kanak mengurangkan meminum susu yang mengandungi gula. Walau bagaimanapun, ini boleh juga menyebabkan peningkatan pembaziran susu kerana kanak-kanak memilih untuk tidak meminum susu.
Apakah maknanya dalam amalan ini?
Ulasan kami menunjukkan bahawa langkah yang mengubah persekitaran di mana orang ramai membuat pilihan minuman boleh membantu mereka minum kurang SSB. Berdasarkan penemuan kami, kami mencadangkan supaya langkah tersebut digunakan dengan lebih meluas. Pegawai kerajaan, orang perniagaan dan ahli profesional kesihatan melaksanakan langkah sedemikian perlu bekerjasama dengan penyelidik untuk mengetahui lebih lanjut tentang kesannya dalam jangka pendek dan panjang.
Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my