Apakah isunya?
Diabetes semasa hamil (GDM) ialah keadaan dimana paras gula yang tinggi (hiperglisemia) dikesan pertama kali semasa hamil. GDM boleh mempengaruhi kesihatan wanita dan bayinya.
Semasa mengandung tubuh wanita mengalami perubahan dalam pemprosesan nutrien dari pemakanannya bagi memastikan bayi mendapat nutrisi yang cukup. Tiga bulan pertama fasa kehamilan, badan ibu mengandung menjadi lebih sensitif terhadap insulin. Pada trimester kedua dan ketiga sensitiviti terhadap insulin berkurang. Wanita penghidap diabetes semasa hamil, peningkatan sensitiviti mereka terhadap insulin diawal kehamilan kurang berbanding wanita yang tiada diabetes dan sensitiviti ini semakin menurun sepanjang kehamilan sehingga menjadi lebih rendah daripada normal, perkara ini menyebabkan kandungan glukos dalam darah bakal ibu menjadi tinggi. Paras lemak dalam darah juga lebih tinggi daripada biasa menyebabkan risiko kepada bayi menjadi besar daripada usia kehamilannya.
Kenapa ini penting?
Ibu yang mempunyai diabetes semasa hamil lebih cenderung untuk mendapat komplikasi semasa mengandung seperti darah tinggi dan keperluan untuk bersalin lebih awal dari tarikh jangkaan. Risiko untuk para ibu dengan GDM ini untuk menghidap diabetes jenis 2 pada kemudian hari juga meningkat. Bayi yang dilahirkan oleh para wanita ini berkemungkinan mempunyai saiz yang besar- boleh menyebabkan kecederan semasa proses bersalin. Setelah dilahirkan, risiko untuk mengalami kesukaran bernafas, penyakit kuning dan penurunan kadar gula dalam darah adalah lebih tinggi, dan dikemudian hari kegemukan dan diabetes.
Terdapat banyak risiko untuk menghidap GDM, perkara ini membolehkan intervensi dilakukan sebelum/semasa hamil untuk mengurangkan risiko mendapat GDM. Gambaran keseluruhan ini meringkaskan bukti daripada ulasan Cochrane daripada kajian=kajian rawak terkawal berkenaan intervensi bagi mencegah GDM.
Apakah bukti yang kami temui?
Kami mencari di Perpustakaan Cochrane (Ogos 2019) dan mengenal pasti 11 ulasan Cochrane yang mengkaji berkenaan intervensi semasa kehamilan dan melaporkan tentang kejadian GDM. Ulasan-ulasan tersebut mendapat keputusan/dapatan daripada 71 kajian rawak terkawal melibatkan 23,154 wanita hamil. Intervensi-intervensi melibatkan diet, senaman, kombinasi diet dan senaman, makanan tambahan, ubatan dan perawatan masalah kesihatan yang lain. Bukti dari kajian sangat pelbagai dari sangat rendah kepada tinggi. Kami telah mengenal pasti 10 ulasan lagi yang mungkin memberikan lebih banyak maklumat mengenai topik ini pada masa akan datang.
Diet dan senaman
Kombinasi diet dan senaman mampu mengurangkan risiko wanita menghidap penyakit GDM apabila dibandingkan dengan perawatan standard (19 kajian; 6633 wanita; bukti berkualiti sederhana).
Nasihat diet sahaja (5 kajian; 1279 wanita; bukti berkualiti sangat rendah) dan diet pemakanan indeks glisemik rendah berbanding dengan diet pemakanan indeks glisemik sederhana hingga tinggi (4 kajian; 912 wanita; bukti berkualiti rendah) mempunyai kesan yang tidak jelas terhadap risiko menghidap GDM. Senaman sahaja mempunyai kesan yang tidak jelas terhadap risiko GDM (3 kajian; 826 wanita; bukti berkualiti rendah).
Makanan tambahan
Makanan tambahan asid lemak omega-3 semasa kehamilan tidak memberikan apa-apa kesan. (12 kajian; 5235 wanita; bukti berkualiti tinggi).
Suplementasi myo-inositol semasa mengandung mungkin mengurangkan risiko GDM (3 kajian dengan 502 wanita; bukti berkualiti rendah).
Suplementasi vitamin D semasa kehamilan mungkin mempunyai manfaat dalam mengurangkan risiko terkena GDM (4 kajian dengan 446 wanita; bukti berkualiti rendah). Kajian-kajian ini semua dari negara-negara Asia dan tahap vitamin D wanita sebelum pengambilan makanan tambahan tidak diketahui.
Vitamin D yang diberikan dengan suplemen kalsium, atau kalsium ditambah mineral lain mempunyai kesan yang tidak jelas.
Probiotik dalam diet mempunyai kesan yang tidak jelas terhadap risiko mengembangkan GDM.
Ubat-ubatan
Ubat metformin mempunyai kemungkinan manfaat dalam mengurangkan risiko mendapat GDM apabila diberikan kepada wanita hamil yang berlebihan berat badan (3 kajian; 892 wanita; bukti berkualiti sederhana).
Bukti berkualiti rendah hingga sangat rendah dari lapan kajian kecil menunjukkan kesan yang tidak jelas terhadap risiko GDM untuk heparin, aspirin, imunisasi sel darah putih atau imunoglobulin (IgG) yang diberikan kepada wanita yang sebelumnya mengalami kelahiran mati.
Cara kawalan masalah kesihatan yang lain
Saringan masalah tiroid secara universal berbanding dengan saringan berdasarkan risiko tidak mempengaruhi risiko GDM (1 kajian; 4516 wanita; bukti berkualiti sederhana). Dua pendekatan yang berbeza untuk ibu yang menghidap asma mempunyai kesan yang tidak jelas (bukti berkualiti rendah).
Apakah maksudnya?
Kombinasi senaman dan diet, suplemen dengan myo-inositol dan suplemen dengan vitamin D mungkin bermanfaat dalam mengurangkan risiko terjadinya GDM. Bukti-bukti lebih lanjut yang berkualiti tinggi dari ujian terkawal secara rawak diperlukan untuk mengesahkan hasil ini, dan untuk mengkaji lagi penggunaan metformin. Tidak ada kajian yang menilai berkenaan intervensi sebelum kehamilan.
Diterjemahkan oleh Muhammad Haziq Bin Kamardin (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my