Teknik pemasangan kateter untuk meningkatkan fungsi kateter dan hasil klinikal terhadap pesakit yang menjalani dialisis peritoneal

Apa isunya?

Dialisis peritoneal (PD) bergantung terhadap pemasangan satu kateter plastik fleksibel yang disalurkan ke dalam rongga peritoneal (ruang di sekeliling organ dalam abdomen) untuk menjalankan rawatan dialisis. Tiub ini mesti harus membolehkan pengaliran keluar dan masuk cecair steril menerusi rongga peritoneal dalam beberapa kali setiap hari (atau semalaman) untuk menyingkirkan bahan buangan dan air secara optimum. Teknik yang digunakan untuk memasang kateter PD ke dalam rongga peritoneal berbeza antara satu pusat dengan pusat yang lain bergantung kepada pilihan lokaliti dan kepakaran yang ada. Oleh itu, teknik pemasangan kateter yang dapat memberi hasil klinikal terbaik untuk pesakit dari segi fungsi kateter, kepanjangan usia di samping meminimumkan komplikasi selepas pembedahan tidak dapat dipastikan.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami membuat carian dalam senarai Daftar Khusus Cochrane untuk Buah Pinggang dan Pemindahan sehingga November 2022. Hanya 17 daripada kajian yang dikenalpasti dapat digunakan dalam ulasan ini. Seramai 658 orang peserta disertakan dalam analisis daripada 9 kajian yang diambilkira. Lapan kajian yang lain hanya sesuai untuk ulasan deskriptif.

Apa yang telah kami temui?

Kami mendapati bahawa kajian yang melihat kepada teknik pemasangan kateter PD secara amnya tidak berkualiti dan tiada satu kajian pun yang meneliti hasil jangka panjang kateter PD dengan cara yang boleh dianalisis. Ini bermakna teknik pemasangan kateter PD yang terbaik untuk pesakit dari segi tempoh kebolehgunaan kateter tersebut masih belum diketahui. Beberapa kajian berbeza yang membandingkan teknik pemasangan kateter PD juga melihat kepada komplikasi selepas pembedahan. Kaedah pemasangan peritoneoskopik mengakibatkan kebocoran cecair yang rendah selepas pembedahan. Kateter yang dipasang melalui teknik ini boleh dilihat dalam rongga abdomen namun tiada manipulasi kateter atau prosedur pembedahan tambahan boleh dijalankan. Terdapat juga cadangan bahawa kateter PD yang dipasang melalui teknik laparoskopi kurang kerap bergerak daripada kedudukan terbaiknya jika dibandingkan dengan pemasangan kateter PD secara pembedahan terbuka.

Kesimpulan

Kami tidak menjumpai bukti yang dapat menunjukkan kelebihan satu teknik pemasangan kateter PD berbanding teknik yang lain. Kajian tersebut adalah kecil dan berkualiti rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information