Intervensi di tempat kerja untuk meningkatkan berdiri atau berjalan dalam mengurangkan gejala-gejala otot rangka dalam kalangan pekerja sedentari

Mengapa ianya penting untuk meningkatkan berdiri atau berjalan di tempat kerja?

Bilangan pekerja di dalam pekerjaan sedentari semakin meningkat dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Kebanyakkan mereka mengadu tentang masalah gejala-gejala otot rangka. Intervensi untuk berdiri dan berjalan di tempat kerja telah berkesan dalam mengurangkan tempoh masa duduk di tempat kerja. Walau bagaimanapun, ia masih tidak jelas sekiranya intervesi ini berkesan dalam mengurangkan intensiti atau kehadiran gejala-gejala otot rangka dalam kalangan pekerja pejabat.

Tujuan ulasan kajian
Kami ingin mengetahui kesan intervensi yang bertujuan untuk meningkatkan berdiri atau berjalan dalam mengurangkan gejala-gejala otot rangka dalam kalangan pekerja sedentari. Kami telah mencari penulisan di dalam pelbagai pangkalan data sehingga Januari 2019.

Apakah kajian-kajian yang telah dijumpai oleh penulis ulasan?
Kami menjumpai 10 kajian yang telah dijalankan dengan sejumlah 955 pekerja dari negara berpendapatan tinggi yang mempunyai aduan tentang otot rangka. Empat kajian telah menilai perubahan persekitaran kerja secara fizikal melalui penyediaan ‘sit-stand’ atau stesen kerja treadmill, dua kajian telah menilai pendekatan individu yang melibatkan penggunaan penjejak aktiviti, dan lima kajian menggunakan intervensi pelbagai komponen dan intervensi kaunseling. Walau bagaimanapun, tiada kajian yang hanya mensasarkan pada peringkat organisasi.

Kesan perubahan terhadap persekitaran kerja fizikal

Bukti yang ada adalah tidak mencukupi untuk menunjukkan keberkesanan meja ‘sit-stand’ atau stesen kerja treadmill dalam mengurangkan intensiti gejala-gejala sakit pinggang dan belakang.

Kesan intervensi disasarkan pada individu

Keberkesanan penjejak aktiviti berbanding dengan intervensi alternatif atau tanpa intervensi dalam mengurangkan intensiti atau kewujudan gejala-gejala sakit pinggang, belakang, leher, bahu, dan siku/pergelangan tangan dan tangan tidak boleh ditentukan berdasarkan bukti susulan jangka pendek (kurang daripada enam bulan) yang ada.

Kesan intervensi disasarkan pada organisasi

Tiada kajian yang sedia ada yang telah mengkaji keberkesanan intervensi yang disasarkan hanya pada peringkat organisasi.

Kesan menggabungkan pelbagai intervensi

Bukti yang sedia ada tidak mencukupi untuk membuktikan keberkesanan menggabungkan intervensi dalam mengurangkan kadar pekerja yang mengalami sakit pinggang atau belakang pada susulan jangka pendek (kurang daripada enam bulan), susulan jangka sederhana (antara enam dan 12 bulan), atau susulan jangka panjang (12 bulan atau lebih lama).

Kesimpulan

Ulasan ini tidak dapat membuktikan keberkesanan intervensi untuk meningkatkan berdiri atau berjalan dalam mengurangkan intensiti atau kewujudan gejala-gejala otot rangka dalam kalangan pekerja sedentari dalam jangka pendek, sederhana atau panjang. Ini mungkin disebabkan oleh sebahagian daripada kualiti bukti, yang rendah atau sangat rendah disebabkan oleh reka bentuk kajian dan saiz sampel yang kecil. Beberapa intervensi yang mensasarkan perubahan persekitaran kerja seperti penggunaan meja ‘sit-stand’ mencadangkan pembaikan dalam gejala-gejala otot rangka. Oleh itu, kajian tambahan yang berskala yang lebih besar dan tempoh yang lebih lama yang merekrut pekerja dengan gejala-gejala awal otot rangka diperlukan untuk menentukan sama ada intervensi untuk meningkatkan berdiri atau berjalan boleh mengurangkan gejala-gejala otot rangka dalam kalangan sedentari, dan sama ada perubahan ini boleh dikekalkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Suzanne Husun Reginald Iggan (Klinik Pergigian Petaling Bahagia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information