Prosedur tambahan selepas rawatan perkutaneus untuk penyingkiran batu karang di buah pinggang

Persoalan ulasan

Kami ingin mengetahui betapa pentingnya untuk meninggalkan tiub nefrostomi (tiub yang menghubungkan bahagian dalam buah pinggang dengan permukaan kulit) atau stent ureter (tiub kecil yang menghubungi bahagian dalam buah pinggang dengan pundi kencing melalui saluran ureter) dalam kalangan pesakit yang sudah menjalani pembedahan penyingkiran batu karang secara perkutaneus (percutaneous nephrolithotomy [PNL]).

Latar belakang

Batu karang adalah penyakit yang kerap dijumpai di seluruh dunia. PNL merupakan kaedah untuk membuang batu dari buah pinggang dengan mewujudkan suatu saluran penghubung antara permukaan kulit dan bahagian dalam buah pinggang yang mengandungi batu karang tersebut. Penghubung ini membolehkan pakar urologi memasukkan skop kecil dan radas lain ke dalam buah pinggang. Pakar bedah dapat menggunakan radas ini untuk memecahkan dan mengeluarkan serpihan batu karang. Berdasarkan saiz saluran penghubung, prosedur ini boleh dirujuk sebagai PNL ataupun mini-PNL. Selepas prosedur, pakar urologi seringkali meninggalkan sebuah tiub nefrostomi yang akan memastikan kekekalbukaan saluran yang menghubungkan buah pinggang dengan permukaan kulit dan membantu menghentikan perdarahan dalam saluran itu; prosedur ini diistilahkan sebagai PNL piawai. Walau bagaimanapun, pakar bedah juga boleh menolak masuk sebuah tiub ureter (stent) dari buah pinggang menuju ke pundi kencing untuk memastikan air kencing mengalir dari buah pinggang ke pundi kencing, dan prosedur ini tidak melibatkan tiub nefrostomi (PNL tanpa tiub). Pilihan ketiga adalah pendekatan meninggalkan pesakit tanpa sebarang tiub nefrostomi atau stent (diistilahkan PNL tanpa tiub sepenuhnya). Walau bagaimanapun, tidak jelas kaedah manakah yang terbaik.

Ciri-ciri kajian

Maklumat dalam ulasan ini adalah terkini setakat September 2022. Kami hanya menyertakan kajian yang mengamalkan pemberian rawatan secara rawak kepada peserta kajian. Kami menilai data peserta dari segi kesan sampingan yang teruk, tahap kesakitan pada hari pertama pascabedah, tempoh pesakit perlu tinggal di wad, dan keperluan untuk transfusi darah. Kami juga menyiasat sama ada peserta dalam kelompok rawatan yang berbeza mengalami demam atau tanda-tanda jangkitan selepas pembedahan atau terpaksa dimasukkan ke hospital semula selepas discaj.

Keputusan utama

Pendekatan PNL tanpa tiub berbanding PNL piawai: Kami sangat tidak pasti betapa teruknya kejadian buruk dibandingkan antara kedua-dua pendekatan. Kesakitan pada hari pertama selepas pembedahan mungkin tidak ada perbezaan, dan tempoh pembedahan mungkin tidak berbeza antara kelompok-kelompok rawatan. PNL tanpa tiub boleh menyingkatkan tempoh tinggal di wad. Kami sangat tidak pasti berkenaan perbezaan dari segi keperluan pemindahan darah, kejadian sepsis atau demam, atau pemasukan semula ke hospital antara kedua-dua pendekatan tersebut.

Pendekatan PNL tanpa tiub sepenuhnya berbanding PNL piawai: PNL tanpa tiub sepenuhnya boleh mengurangkan kejadian kesan sampingan yang parah berbanding PNL piawai. Ia juga boleh mengurangkan tahap kesakitan pada hari pertama selepas pembedahan, tetapi mungkin terdapat sedikit ataupun tiada perbezaan langsung antara kedua-dua kelompok rawatan dari segi tempoh pembedahan. PNL tanpa tiub sepenuhnya mungkin dapat mengurangkan tempoh penginapan di wad. Kami sangat tidak pasti tentang perbezaan antara kedua-dua pendekatan itu dari segi keperluan pemindahan darah dan kemasukan semula ke hospital. PNL tanpa tiub sepenuhnya boleh menyebabkan sedikit ataupun tiada perbezaan dari segi kejadian sepsis/demam.

PNL mini tanpa tiub berbanding PNL mini piawai: Kami tidak menemui sebarang kajian yang menyelidiki perbandingan ini .

PNL mini tanpa tiub berbanding PNL mini piawai: Kami tidak menemui sebarang kajian yang menyelidiki perbandingan ini.

Kepastian bukti

Kepastian bukti berdasarkan hasil yang ditemui berada dalam julat sederhana sehingga sangat rendah, terutamanya kerana keterbatasan kajian dan ketidaktepatan akibat saiz kajian yang kecil dengan bilangan peristiwa berkepentingan yang sedikit. Ini bermakna kami mempunyai keyakinan yang sederhana hingga sangat sedikit dalam keputusan ini, masing-masing.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information