Terapi laser untuk sindrom terowong karpus (carpal tunnel syndrome)

Soalan ulasan

Apakah kesan-kesan terapi laser tahap rendah (LLLT) dalam rawatan sindrom terowong karpus( carpal tunnel syndrome; CTS) jika dibandingkan dengan rawatan tidak aktif atau rawatan bukan surgikal yang lain? Apakah manfaat-manfaat jangka pendek dan jangka panjang? Adakah terdapatnya sebarang kesan berbahaya?

Latar belakang

CTS adalah satu keadaan di mana berlakunya tekanan pada salah satu saraf utama di pergelangan tangan. Penyebab keadaan ini sering tidak diketahui. CTS boleh menyebabkan kesakitan, sensasi kesemutan, dan kekebasan di tangan. Kekerapan keadaan ini meningkat mengikut umur dan golongan perempuan lebih kerap mengalaminya berbanding dengan lelaki. CTS boleh dirawat dengan pembedahan, tetapi ini bukanlah tanpa risiko. Bagi orang yang tidak ingin menjalani pembedahan, atau perlu menunggu masa yang lama untuk pembedahan mereka, rawatan lain juga didapati. LLLT adalah salah satu rawatan bukan surgikal yang sedia ada untuk merawat CTS. Penggunaan LLLT adalah berkontroversi, kerana terdapat kajian yang telah menunjukkan LLLT memberi manfaat manakala ada juga kajian lain yang tidak.

Tarikh carian

Bukti ini adalah terkini sehingga Disember 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini. Kami mendapati 22 kajian klinikal yang menilai keselamatan dan manfaat LLLT berbanding dengan plasebo (rawatan berpura-pura) atau rawatan bukan surgikal yang lain untuk CTS. Rawatan bukan surgikal termasuklah ultrasound (penghantaran gelombang bunyi untuk melegakan kesakitan), manipulasi 'fascial' (pengurutan tisu penghubung bergentian), penggunaan medan magnet berdenyut, rangsangan saraf elektrikal 'transcutaneous' (TENS; penghantaran arus elektrik melalui kulit ke saraf), suntikan steroid, latihan tendon gliding (untuk memperbaiki pergerakan saraf), dan penggunaan splint pergelangan tangan digabungkan dengan ubat anti-radang bukan steroid (ubat tahan sakit yang mengurangkan keradangan). Kajian-kajian ini melibatkan sebanyak 1153 peserta. Kebanyakan kajian ini mempunyai kelemahan yang mungkin menjejaskan hasil kajian mereka dan menyebabkan mereka terlalu membesarkan atau meremehkan manfaat atau kemudaratan.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai kualiti rendah atau kualiti yang sangat rendah, disebabkan oleh kajian yang tidak dilaksanakan dengan baik, isu-isu dengan reka bentuk kajian termasuklah kekurangan 'blinding' (para peserta atau penilai mungkin telah mengetahui rawatan yang diberi dan dengan itu menjangkakan keputusannya), keputusan yang berbeza merentasi kajian-kajian, serta kekurangan jumlah peserta, dan oleh itu, data yang tidak mencukupi.

Keputusan-keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada LLLT lebih menambahbaik simptom-simptom CTS berbanding dengan plasebo dalam jangka pendek kerana kualiti bukti adalah sangat rendah. Begitu juga, kami tidak pasti sama ada LLLT adalah kurang berkesan berbanding rawatan ultrasound dalam jangka pendek kerana kualiti bukti adalah sangat rendah. Kami tidak tahu sama ada LLLT adalah lebih baik atau lebih buruk daripada rawatan bukan surgikal yang lain kerana kekurangan bukti. Tidak terdapat juga bukti yang mencukupi untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai apa-apa manfaat atau kemudaratan jangka panjang LLLT. Tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk membuat sebarang kesimpulan tentang apa-apa kesan sampingan seseorang peserta mungkin mengalami daripada penggunaan LLLT. Kami memerlukan lebih banyak penyelidikan yang direka dan dijalankan dengan baik untuk mengetahui keberkesanan dan keselamatan penggunaan LLLT dalam merawat CTS.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Huey Fern (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi hueyfern_c2017@ms.pmc.edu.my.

Tools
Information