Kalsium, vitamin D atau hormon paratiroid rekombinan untuk menguruskan kekurangan hormon paratiroid selepas tiroidektomi

Soalan ulasan

Apakah kesan kalsium, vitamin D dan hormon paratiroid dalam pengurusan hormon paratiroid yang rendah berikutan pembedahan tiroid?

Latar belakang

Kelenjar paratiroid adalah empat kelenjar kecil yang terlekat pada kelenjar tiroid. Ia menghasilkan hormon paratiroid yang mengawal paras kalsium darah. Kelenjar-kelenjar ini mungkin rosak secara tidak sengaja semasa pembedahan, contohnya selepas mengeluarkan kelenjar tiroid. Akibatnya adalah tahap kalsium darah yang rendah. Kerosakan kelenjar paratiroid mungkin sementara atau jangka panjang. Penggunaan kalsium dan penambahan vitamin D untuk menormalkan tahap kalsium darah adalah rawatan utama dalam kalangan mereka tetapi ketepatan rawatan, dos dan tempoh rawatan-rawatan ini berbeza di pusat-pusat rawatan. Kajian terkini mencadangkan penggunaan hormon paratiroid yang dibuat di makmal (rekombinan) sebagai rawatan pilihan. Garis panduan terkini mengenai pengurusan kekurangan hormon paratiroid selepas tiroidektomi adalah berdasarkan bukti yang berkualiti rendah. Kami berhasrat untuk mengulas penyelidikan berkualiti tinggi yang menilai penggunaan kalsium, vitamin D dan hormon paratiroid dalam keadaan ini. Tambahan juga, kami bertujuan untuk mengetengahkan jurang dalam kajian-kajian semasa dan merangsang kajian klinikal yang selanjutnya di dalam bidang ini.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati tiada kajian rawak terkawal yang relevan (kajian klinikal di mana orang secara rawak diperuntukkan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) atau kajian klinikal terkawal yang menilai penggunaan kalsium, vitamin D tambahan dan hormon paratiroid dalam keadaan ini.

Bukti ini adalah terkini sehingga 17 Disember 2018.

Keputusan utama

Terdapat kekurangan bukti berkualiti tinggi tentang penggunaan kalsium, vitamin D dan hormon paratiroid dalam pengurusan paras hormon paratiroid yang rendah selepas pembedahan tiroid.

Kepastian bukti

Kami tidak dapat menilai kepastian bukti secara kritikal kerana kami tidak dapat mengenal pasti kajian yang sepadan dengan kriteria inklusi kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan in,i sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information