Latar belakang
Kekurangan zat besi, berlaku dalam keadaan badan tidak mempunyai cukup zat besi mineral, satu kekurangan nutrisi yang biasa. Zat besi digunakan oleh badan untuk membuat hemoglobin, sejenis protein dalam sel darah merah yang membolehkan mereka membawa oksigen ke seluruh badan. Sementara kekurangan zat besi paling biasa dikaitkan dengan tahap rendah hemoglobin dalam darah (anemia),kekurangan zat besi pada peringkat awal atau ‘bukan anemia’ juga boleh menjurus kepada gejala seperti keletihan dan kekurangan tenaga. Kekurangan zat besi bukan anemia sering dirawat melalui zat besi oral, iaitu ubat yang diambil melalui mulut seperti tablet zat besi. Walau bagaimanapun, zat besi oral berkemungkinan menyebabkan kesan sampingan, tidak berkesan untuk sesetengah jenis keadaan kekurangan zat besi, atau ianya mengambil masa untuk berkesan sepenuhnya. Tambahan pula, persediaan zat besi yang lebih baharu seperti larutan intravena zat besi, adalah lebih stabil, mempunyai sedikit kesan sampingan dan menunjukkan manfaat maksimum dalam tempoh masa yang lebih singkat.
Matlamat ulasan
Untuk melihat semula bukti dari ujian rawak terkawal (dengan orang yang diperuntukkan rawatan secara rawak) mengenai keselamatan dan kesan zat besi intravena semasa rawatan awal anemia, atau kekurangan zat besi bukan-anemia.
Ciri-ciri kajian
Pengulas telah menemui 11 kajian yang melibatkan 1074 peserta. Kajian ini melibatkan pelbagai orang, termasuk orang yang mengalami sakit jantung, atlet elit, orang yang mengalami sindrom kaki resah dan selain daripada wanita yang cergas dan sihat. Pengulas mengecualikan kajian yang melihat kepada kanak-kanak, wanita hamil, dan orang yang dirawat dengan erythropoietin (hormon yang merangsang pengeluaran sel darah merah).
Keputusan utama
Zat besi intravena boleh menjurus kepada peningkatan kecil tahap hemoglobin dalam darah. Pengulas juga telah menilai kesan zat besi intravena terhadap kualiti hidup, serum ferritin (zat besi yang disimpan di dalam badan), puncak kapasiti senaman, dan kesan sampingan ringan selepas pemberian zat besi, tetapi pengulas tidak dapat menentukan sama ada zat besi intravena menunjukkan manfaat terhadap hasil-hasil tersebut. Ini disebabkan oleh adanya banyak perbezaan di antara kajian mengenai peserta yang dikaji, takrif kekurangan zat besi yang digunakan, jenis penyediaan zat besi intravena yang ditetapkan dan jangkamasa kajian. Pengulas juga telah cuba mengumpul data mengenai kesan sampingan yang teruk dan jangkitan bakteria selepas infusi zat besi, tetapi mereka tidak menjumpai apa-apa kajian yang boleh mengukur kesan ini secara efektif.
Kepastian bukti
Oleh kerana terdapat banyak perbezaan di antara kajian yang sedikit di dalam ulasan ini, pengulas tidak pasti tentang kesan zat besi intravena dalam kalangan pesakit dengan kekurangan zat besi bukan-anemia; selain daripada mengatakan ia mungkin menyebabkan peningkatan kepekatan haemoglobin. Tambahan pula, tahap permulaan hemoglobin bagi orang yang dimasukkan di dalam ulasan ini dianggap ' biasa ' sebelum mereka menerima rawatan. Oleh itu, bukan sahaja peningkatan ini agak kecil, tetapi tahap permulaan hemoglobin dianggap mencukupi mengikut garis panduan semasa, dan pesakit mungkin tidak dapat melihat apa-apa perbaikan terhadap simptom. Pengulas bukannya mencadangkan bahawa zat besi intravena tidak memberi manfaat kepada orang dewasa dengan kekurangan zat besi bukan-anemia, sebaliknya, bukti kualiti semasa adalah tidak cukup baik untuk mencapai kepastian tentang keberkesanan ubat-ubatan ini.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, bukti zat besi intravena untuk rawatan kekurangan zat besi bukan-anemia adalah berkualiti rendah atau sangat rendah. Ketika zat besi intravena mungkin menyebabkan peningkatan kecil kepekatan hemoglobin dari tahap yang biasa, pengulas tidak pasti tentang keberkesanannya terhadap hasil lain yang dilihat sebagai sebahagian daripada ulasan ini. Penyelidikan selanjutnya untuk mengenalpasti keberkesanan zat besi intravena untuk rawatan orang dewasa yang dengan kekurangan zat besi bukan-anemia adalah perlu bagi membantu menjawab soalan penyelidikan ini.
Bukti ini adalah terkini sehingga Oktober 2019.
Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh.DIsunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my