Soalan ulasan
Adakah rawatan awal (dimulakan dalam tujuh hari pertama selepas kelahiran) atau rawatan sangat awal (dimulakan dalam 72 jam pertama selepas kelahiran) duktus arteriosus paten (PDA) bergejala dengan ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) berbanding dengan pengurusan jangkaan (tanpa menggunakan NSAID) memperbaiki hasil dalam bayi pramatang?
Latar belakang
PDA adalah komplikasi yang biasa berlaku dalam kalangan bayi pramatang atau bayi dengan berat badan yang rendah. PDA merupakan saluran vaskular terbuka di antara paru-paru dan jantung yang biasanya tutup sejurus selepas kelahiran. Dalam bayi pramatang, PDA sering terbuka dan boleh menyumbang kepada komplikasi yang mengancam nyawa. Ubat-ubatan seperti NSAID digunakan untuk mencegah atau merawat PDA sebelum ia bergejala. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai kesan sampingan NSAID terhadap bayi pramatang. Terdapat kontroversi sekiranya rawatan awal PDA yang bergejala boleh meningkatkan hasil pada bayi pramatang.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) bayi pramatang (lahir kurang dari 37 minggu kehamilan) atau bayi dengan berat lahir rendah (berat kurang dari 2500 gram) dengan PDA bergejala yang didiagnosis menggunakan gabungan bentuk klinikal tertentu dan ultrasound jantung. Kajian yang disertakan membandingkan rawatan awal, atau rawatan sangat awal PDA bergejala dengan NSAID berbanding pengurusan jangkaan tanpa penggunaan NSAID. Carian adalah terkini sehingga 2 Oktober 2020.
Keputusan utama
Ulasan dari 14 ujian klinikal (910 bayi) ini mendapati bahawa rawatan awal atau sangat awal PDA bergejala tidak mengurangkan kematian atau hasil klinikal yang buruk dalam kalangan bayi pramatang. Rawatan awal atau sangat awal, sebaliknya, meningkatkan bilangan bayi pramatang yang terdedah kepada NSAID. Terdapat dua kajian yang sedang menunggu untuk dikategorikan dan dua kajian yang sedang dijalankan untuk meneroka persoalan ini.
Kepastian bukti
Menurut GRADE (kaedah untuk memastikan kepastian kajian yang menyokong setiap hasil), kepastian bukti bervariasi dari sangat rendah hingga sederhana tetapi sederhana untuk hasil yang paling penting iaitu kematian.
Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my