Apakah ujian makmal rutin?
Ujian makmal rutin adalah ujian darah yang menilai status kesihatan pesakit. Ujian ini termasuk pelbagai jenis sel darah putih (ini membantu tubuh melawan jangkitan), dan pengesanan penanda (protein) yang menunjukkan kerosakan organ dan keradangan umum. Ujian-ujian ini banyak tersedia dan mungkin satu-satunya ujian yang tersedia untuk diagnosis COVID-19 di beberapa tempat.
Apakah yang kami ingin tahu?
Orang yang disyaki dijangkiti COVID-19 perlu tahu dengan cepat sama ada mereka dijangkiti supaya mereka dapat mengasingkan diri, menerima rawatan dan memaklumkan kontak rapat.
Pada masa ini, ujian standard untuk COVID-19 biasanya adalah ujian RT-PCR. Dalam RT-PCR, sampel dari hidung dan tekak dihantar untuk diuji, biasanya ke makmal pusat besar dengan peralatan khas. Ujian-ujian lain termasuk ujian pengimejan, seperti sinar-X yang juga memerlukan peralatan khas.
Kami ingin tahu sama ada ujian makmal rutin cukup tepat untuk mendiagnosis COVID-19 dalam kalangan orang yang disyaki COVID-19. Kami juga ingin tahu sama ada ia cukup tepat bagi mengutamakan pesakit untuk tahap rawatan yang berbeza.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menilai ketepatan ujian makmal rutin untuk mendiagnosis COVID-19 berbanding RT-PCR atau ujian-ujian lain. Kajian-kajian boleh sebarang reka bentuk dan dilakukan di mana sahaja di dunia. Kajian-kajian boleh melibatkan peserta sebarang umur atau jantina, yang disyaki COVID-19, atau menggunakan sampel dari orang yang diketahui mempunyai - atau tidak mempunyai - COVID-19.
Apa yang kami temui
Kami menemui 21 kajian yang melihat 67 ujian makmal rutin yang berbeza untuk COVID-19. Kebanyakan kajian melihat berapa tepat ujian-ujian ini untuk mendiagnosis jangkitan virus yang menyebabkan COVID-19. Empat kajian melibatkan kanak-kanak dan dewasa, 16 kajian hanya melibatkan dewasa dan satu kajian hanya kanak-kanak. Tujuh belas kajian dilakukan di Cina, dan masing-masing satu di Iran, Itali, Taiwan dan AS. Semua kajian dilakukan di hospital, kecuali satu yang menggunakan sampel dari satu pangkalan data. Kebanyakan kajian mengguna RT-PCR untuk mengesahkan diagnosis COVID-19.
Ketepatan ujian paling kerap dilaporkan menggunakan 'sensiviti' dan 'spesifisiti'. Sensitiviti adalah perkadaran orang dengan COVID-19 yang dikesan dengan betul oleh ujian; spesifisiti adalah perkadaran orang tanpa COVID-19 yang dikenal pasti dengan betul oleh ujian. Semakin dekat sensitiviti dan spesifisiti kepada 100%, semakin baik ujian tersebut. Ujian untuk mengutamakan orang mendapatkan rawatan memerlukan sensitiviti tinggi lebih dari 80%.
Di mana empat atau lebih kajian menilai ujian tertentu, kami mengumpulkan keputusannya dan menganalisisnya bersama. Analisis kami menunjukkan hanya tiga ujian mempunyai sensitiviti dan spesifisiti melebihi 50%. Dua daripadanya adalah penanda keradangan umum (peningkatan protein interleukin-6 dan C-reaktif). Ujian yang ketiga adalah untuk penurunan bilangan limfosit. Limfosit adalah sejenis sel darah putih di mana bilangan yang rendah mungkin menunjukkan jangkitan.
Sejauh mana keputuan ini boleh dipercaya?
Keyakinan kami terhadap bukti dari ulasan ini rendah kerana kajian-kajian berbeza antara satu sama lain, yang menyukarkan perbandingan. Contohnya, sesetengah kajian melibatkan orang yang sangat sakit, sementara sesetengah melibatkan orang yang hampir tidak bergejala COVID-19. Diagnosis COVID-19 juga disahkan dengan cara yang berbeza: RT-PCR kadangkala diguna dengan kombinasi ujian-ujian lain.
Kepada siapakah keputusan ulasan merujuk?
Ujian makmal rutin boleh dikeluarkan oleh kebanyakan fasiliti penjagaan kesihatan. Walau bagaimanapun, keputusan kami mungkin tidak mewakili kebanyakan situasi klinikal di mana ujian-ujian ini digunakan. Kebanyakan kajian melibatkan orang yang sangat sakit dengan kadar jangkitan virus COVID-19 yang tinggi antara 27% dan 76%. Di kebanyakan fasiliti penjagaan kesihatan primer, peratusan ini akan lebih rendah.
Apakah maksudnya?
Ujian makmal rutin tidak dapat membezakan antara COVID-19 dan penyakit lain sebagai penyebab jangkitan, keradangan atau kerosakan tisu. Tiada satu ujian yang dilakukan dengan cukup baik merupakan ujian diagnostik lengkap untuk COVID-19 atau bagi mengutamakan pesakit mendapatkan rawatan. Ia akan digunakan terutama untuk memberi gambaran keseluruhan tentang status kesihatan pesakit. Diagnosis akhir COVID-19 mesti dibuat berdasarkan ujian-ujian lain.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Kami mencari semua kajian COVID-19 hingga 4 Mei 2020.
Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my