Mesej utama
Disebabkan kekurangan bukti kukuh, tidak jelas sama ada mana-mana jenis pembedahan yang digunakan untuk merawat penyakit Ménière berkesan dalam memperbaik gejala pesakit. Tiada maklumat mengenai potensi risiko serius yang disebabkan oleh rawatan-rawatan ini.
Kajian lebih besar yang dijalankan dengan teliti diperlukan untuk mengenalpasti sama ada pembedahan mungkin berkesan, dan menilai sama ada terdapat sebarang kesan merbahaya akibat rawatan.
Kajian lanjut juga perlu dilakukan untuk mengetahui cara terbaik menaksir gejala penghidap penyakit Ménière, bagi menilai sama ada rawatan berkesan atau tidak. Ini harus melibatkan pembangunan 'set hasil teras' - senarai perkara-perkara yang patut diukur dalam semua kajian tentang penyakit Ménière.
Apakah itu penyakit Ménière?
Penyakit Ménière adalah keadaan yang menjejaskan telinga dalam. Ia menyebabkan serangan pening atau vertigo yang berulang (rasa berputar-putar), serta masalah pendengaran, tinnitus (berdering, berdengung atau berdesing di telinga) dan rasa penuh atau tekanan di dalam telinga. Penyakit ini biasanya menjejaskan orang dewasa, dan bermula pada pertengahan usia. Walaupun ia adalah keadaan yang agak jarang, ia boleh memberikan impak besar terhadap kualiti hidup.
Bagaimanakah penyakit Ménière dirawat?
Terdapat banyak variasi dalam cara penyakit Ménière dirawat di pelbagai tempat (baik di dalam mahupun di luar negara). Buat masa ini tidak terdapat persetujuan berkenaan strategi terbaik untuk merawat penyakit ini. Nasihat gaya hidup dan pemakanan serta pengambilan ubat-ubatan oral sering digunakan sebagai rawatan permulaan untuk penyakit Ménière. Kadangkala rawatan lain - seperti suntikan ke dalam telinga - juga boleh digunakan. Jika rawatan-rawatan ini tidak berkesan, atau jika pesakit mengalami gejala yang sangat teruk, maka pembedahan boleh dipertimbangkan.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui:
- sama ada terdapat bukti bahawa sebarang jenis pembedahan berkesan untuk mengurangkan gejala penyakit Ménière;
- sama ada rawatan-rawatan tersebut boleh mendatangkan sebarang mudarat.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan pelbagai jenis pembedahan dengan sama ada tiada rawatan atau pembedahan palsu.
Apa yang kami dapati?
Kami menemui dua kajian, yang melibatkan sejumlah 178 orang peserta.
Tiub pengalihudaraan
Kajian pertama meneliti tiub pengalihudaraan (kadangkala dikenali sebagai gromet) - tiub kecil yang dimasukkan ke dalam gegendang telinga. Tidak jelas sama ada rawatan ini membawa perbezaan terhadap gejala vertigo, dan kajian tidak melaporkan potensi kemudaratan pembedahan ini.
Penyahmampatan kantung endolimfatik
Kajian kedua mengkaji sejenis pembedahan khusus pada 'kantung endolimfatik' - iaitu bahagian telinga dalam yang berisi bendalir. Pembedahan itu melibatkan pemasangan tiub kecil untuk membantu mengalirkan bendalir keluar dari kantung ini. Peserta kajian ini telah menerima sama ada pembedahan ini, atau sejenis pembedahan palsu, yang sepatutnya tidak menjejaskan gejala penyakit Ménière mereka sama sekali. Namun, tidak jelas sama ada rawatan ini memberi sebarang kesan terhadap gejala vertigo, dan kajian tersebut tidak melaporkan potensi mudarat pembedahan ini.
Apakah batasan bukti?
Kami berkeyakinan sangat rendah terhadap bukti kerana kedua-dua kajian yang dijalankan adalah kecil dan mempunyai masalah dalam pelaksanaan, yang bererti keputusan yang diperoleh mungkin tidak boleh dipercayai. Kajian lebih besar yang dijalankan dengan baik diperlukan untuk mengujikaji sejauh manakah keberkesanan rawatan-rawatan yang berbeza.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini setakat September 2022.
Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my