Bolehkah pengurangan preskripsi ubat antikolinergik meningkatkan hasil kognitif dalam kalangan orang dewasa yang lebih tua?

Mesej utama

• Adalah diketahui bahawa orang tua yang mengambil lebih banyak ubat dengan kesan antikolinergik mungkin lebih berisiko mengalami penurunan kognitif.
• Terdapat kekurangan bukti berkualiti tinggi untuk menunjukkan sama ada mengurangkan preskripsi ubat antikolinergik boleh memelihara atau menambahbaik kognisi. Bukti semasa adalah sangat tidak pasti dan sangat jangka pendek.
• Terdapat keperluan untuk kajian berskala besar untuk menyiasat kesan jangka panjang akibat mengurangkan beban antikolinergik.

Apakah itu ubat antikolinergik?

Ubat-ubatan dapat diklasifikasikan berdasarkan kemampuannya untuk menyekat tindakan sistem isyarat kimia dalam badan yang disebut sebagai sistem kolinergik. Ubat yang melakukan ini dikatakan mempunyai kesan antikolinergik dan oleh itu dirujuk sebagai ubat antikolinergik. Kadangkala kesan antikolinergik adalah penting untuk cara ubat itu berfungsi dan kadangkala ia adalah kesan sampingan yang tidak diingini. Banyak ubat biasa mempunyai beberapa kesan antikolinergik dan kesan-kesan ini boleh bertambah. Jumlah kesan antikolinergik bagi semua ubat yang diambil seseorang dipanggil beban antikolinergik. Orang tua yang mengambil satu ubat antikolinergik kuat atau beberapa ubat antikolinergik ringan mungkin mengalami beban antikolinergik yang ketara.

Sistem kolinergik dalam otak memainkan peranan penting dalam kognisi (berfikir dan mengingati sesuatu). Terdapat kebimbangan bahawa beban antikolinergik yang tinggi mungkin secara tidak sengaja menyebabkan atau memburukkan lagi masalah kognitif, malah mempercepatkan perkembangan demensia atau memudaratkan gejala orang yang sudah mengalami demensia. Garis panduan mencadangkan bahawa doktor harus menyemak jumlah ubat antikolinergik yang ditetapkan kepada orang yang lebih tua.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Dalam ulasan ini, kami ingin menyiasat intervensi yang bertujuan untuk mengurangkan ubat antikolinergik yang ditetapkan kepada orang dewasa yang lebih tua. Kami ingin tahu sama ada intervensi ini lebih baik daripada penjagaan lazim untuk meningkatkan kognisi dan mengurangkan diagnosis demensia dalam kalangan orang dewasa yang lebih tua. Kami juga ingin mengetahui sama ada mengurangkan beban antikolinergik secara keseluruhan mempunyai sebarang kesan berbahaya.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menilai intervensi untuk mengurangkan beban antikolinergik berbanding dengan penjagaan lazim dalam kalangan orang dewasa yang lebih tua. Untuk perbandingan yang adil, orang ramai terpaksa diperuntukkan secara rawak kepada intervensi atau kumpulan penjagaan lazim. Kami memasukkan orang tua yang tidak mempunyai masalah kognitif dan orang yang mengalaminya, termasuk mereka yang mengalami demensia. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap penemuan mereka, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang telah kami dapati?

Kami menemui tiga kajian berkaitan melibatkan sejumlah 299 orang dewasa yang lebih tua. Ketiga-tiga kajian termasuk campuran orang yang mempunyai dan tanpa masalah kognitif. Kesemuanya adalah kajian pendek yang mengukur kognisi hanya satu hingga tiga bulan selepas campur tangan. Hanya dua kajian yang berjaya mengurangkan beban antikolinergik secara keseluruhan dalam kumpulan intervensi. Walau bagaimanapun, salah satu daripada kajian-kajian ini melaporkan bahawa orang dalam kumpulan intervensi tidak melakukan ujian kognitif yang lebih baik daripada orang yang mempunyai penjagaan biasa dan kajian lain mendapati bahawa orang dalam kumpulan intervensi mempunyai skor yang lebih baik dalam hanya satu daripada beberapa ujian kognitif. Tiada kajian mendapati bahawa intervensi untuk mengurangkan beban antikolinergik membawa kepada apa-apa penambahbaikan lain berbanding dengan penjagaan biasa dan tiada kajian menyiasat betapa selamatnya intervensi itu.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan keseluruhan kami terhadap keputusan adalah sangat rendah. Kajian yang melibatkan bilangan peserta yang kecil tidak mengkaji orang yang sudah mempunyai masalah kognitif secara berasingan daripada mereka yang tidak dan mempunyai kejayaan separa dalam mengurangkan beban antikolinergik. Daripada bukti yang ada, kita tidak boleh mengatakan sama ada intervensi untuk mengurangkan beban antikolinergik adalah selamat dan berkesan untuk memelihara atau meningkatkan kognisi dalam kalangan orang yang lebih tua.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 1 November 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Tools
Information