Podcast: Ivermectin untuk mencegah dan merawat COVID-19

Cochrane menghasilkan satu siri ulasan yang berkaitan dengan pandemik COVID-19. Pada bulan Julai 2021, telah menerbitkan versi pertama ulasan mengenai kesan ivermectin untuk pencegahan dan rawatan COVID-19, dalam kolaborasi antara Kumpulan Penyakit Berjangkit dan Haematologi Malignant Cochrane. Penemuan terbaru dijelaskan dalam fail media digital ini.

- Baca transkrip

Cochrane menghasilkan satu siri ulasan yang berkaitan dengan pandemik COVID-19. Pada bulan Julai 2021, telah menerbitkan versi pertama ulasan mengenai kesan ivermectin untuk pencegahan dan rawatan COVID-19, dalam kolaborasi antara Kumpulan Penyakit Berjangkit dan Haematologi Malignant Cochrane. Penemuan terbaru dijelaskan dalam fail media digital ini.

Ivermectin adalah ubat yang biasa digunakan untuk merawat parasit, seperti kudis buta pada manusia dan cacing usus pada lembu. Sebelum pandemik COVID-19, beberapa kajian menunjukkan bahawa, dalam keadaan makmal, ia dapat menghalang penularan virus, seperti yang bertanggungjawab untuk demam denggi. 
Pada bulan April 2020, ujian makmal yang serupa menunjukkan kesan penghalangan yang lemah pada SARS-CoV-2, yang merupakan virus yang menyebabkan COVID-19 dan pada tahun 2020, lebih daripada 30 ujian klinikal bermula, untuk menguji ivermectin sebagai rawatan untuk COVID-19. Beberapa kajian kecil yang awal mencadangkan manfaat mengelakkan kematian yang besar, yang menyebabkan beberapa kumpulan penyokong melobi pengenalan ivermectin secara meluas di seluruh dunia, dan menjadikannya penting untuk melakukan ulasan sistematik untuk mengumpulkan semua bukti bersama dengan cara yang tidak berat sebelah.
Dibiayai oleh projek CEOsys Jerman, para penyelidik menyusun Ulasan Cochrane mengenai kesan ivermectin dalam mencegah dan merawat jangkitan COVID-19. Mereka ingin mengetahui apakah ivermectin dapat mencegah penyakit ini atau apakah ia dapat mengurangkan kematian, penyakit dan tempoh jangkitan pada orang yang menghidapnya. Mereka juga mencari kesan sampingan yang tidak diingini ubat tersebut.
Para penyelidik mencari kajian rawak yang menyiasat ivermectin untuk mencegah atau merawat COVID-19 pada manusia. Orang yang dirawat dengan ivermectin harus menjalani ujian makmal memastikan COVID-19 dan menerima rawatan di hospital atau sebagai pesakit luar. Kajian perlu membandingkan ivermectin dengan plasebo, tidak ada rawatan, rawatan biasa atau rawatan yang diketahui berkesan untuk COVID-19. Mereka mengecualikan kajian yang membandingkan ivermectin dengan ubat lain yang tidak berfungsi, seperti hydroxychloroquine, atau yang tidak diketahui berkesan terhadap COVID-19. 
Para penyelidik menemui satu kajian rawak untuk pencegahan COVID-19 yang telah merekrut 156 orang di Mesir, dan 13 kajian rawatan, dengan jumlah kira-kira 1500 pesakit. Untuk rawatan, terdapat sembilan kajian mengenai orang dengan COVID-19 sederhana di hospital dan empat pesakit luar dengan COVID-19 ringan. Kajian menggunakan dos ivermectin yang berbeza dan jangka masa rawatan yang berbeza. Mereka juga menjumpai 31 kajian yang sedang dijalankan, dan 18 kajian lagi yang ditutup dan belum diterbitkan atau di mana kami meminta penjelasan daripada pengarang.
Penemuan utama para penyelidik adalah bahawa mereka tidak menemui bukti untuk menyokong penggunaan ivermectin untuk mencegah atau merawat jangkitan COVID-19. Mereka tidak dapat mengesahkan jika ivermectin, sama ada diberikan di hospital atau sebagai pesakit luar, menyebabkan lebih atau kurang bilangan kematian selepas satu bulan berbanding plasebo atau rawatan biasa. Selanjutnya, mereka tidak dapat mengesahkan sama ada ia memperbaiki atau memburukkan keadaan pesakit, meningkatkan atau mengurangkan kesan sampingan yang tidak diingini, atau membawa kepada lebih banyak atau kurang ujian COVID-19 negatif 7 hari selepas rawatan. Begitu juga, bukti yang ada pada masa ini untuk ulasan tidak dapat mengesahkan sama ada ivermectin mencegah jangkitan COVID-19 atau mengurangkan jumlah kematian selepas pendedahan berisiko tinggi terhadap virus SARS-CoV-2.
Kesimpulannya, kekurangan bukti semasa yang berkualiti baik mengenai keberkesanan dan keselamatan ivermectin yang timbul dari kumpulan kajian yang terdiri terutamanya dari kajian rawak kecil dengan kualiti terhad dalam reka bentuk, kaedah dan pelaporan, tidak menyokong penggunaan ivermectin untuk merawat atau mencegah COVID -19 di luar kajian rawak yang dirancang dengan baik.

Sekiranya anda ingin membaca ulasan ini, ia boleh didapati secara percuma dalam talian. Sekiranya anda pergi ke Cochrane Library dot com dan mencari 'ivermectin untuk COVID-19', anda akan melihat pautan ke versi lengkap.

Di rakam oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tutup transkrip