Soalan ulasan
Kami meneliti bukti kesan terapi pertuturan dan bahasa (SLT) atas masalah bahasa yang dialami pesakit selepas mengalami strok (dikenali sebagai afasia).
Latar belakang
Kira-kira satu pertiga daripada pesakit yang telah mengalami strok akan mendapat afasia. Satu atau lebih bidang komunikasi boleh dipengaruhi: bercakap, pemahaman lisan, membaca dan menulis. Ahli terapi pertuturan dan bahasa menilai, mendiagnosis, dan merawat afasia pada semua peringkat pemulihan selepas strok. Mereka bekerja rapat dengan orang yang mempunyai afasia, keluarga, dan profesional penjagaan kesihatan yang lain. Kami ingin melihat sama ada SLT untuk afasia berkesan dan adakah ia lebih baik atau lebih buruk daripada sokongan sosial bukan pakar. Kami juga ingin melihat pendekatan terapi mana yang memberikan pemulihan terbaik.
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga September 2015. Kami menemui dan memasukkan 57 kajian yang melibatkan 3002 orang dengan afasia dalam ulasan kami. Kami mengkaji semua jenis, rejimen, dan kaedah penyampaian SLT.
Keputusan utama
Berdasarkan 27 kajian (dan 1620 orang dengan afasia), terapi pertuturan dan bahasa memberi manfaat kepada penggunaan bahasa, pemahaman bahasa (misalnya mendengar atau membaca), dan penghasilan bahasa (bercakap atau menulis), apabila dibandingkan dengan tiada akses terapi, tetapi ia tidak jelas berapa lama faedah ini boleh bertahan.
Terdapat sedikit maklumat tersedia yang membandingkan SLT dengan sokongan sosial. Maklumat dari sembilan kajian (447 orang dengan afasia) menunjukkan bahawa mungkin terdapat sedikit perbezaan dalam pengukuran kemampuan bahasa. Walau bagaimanapun, lebih banyak orang berhenti mengambil bahagian dalam sokongan sosial berbanding dengan mereka yang menghadiri SLT.
Tiga puluh lapan kajian membandingkan dua jenis SLT yang berbeza (melibatkan 1242 orang dengan afasia). Kajian membandingkan SLT yang berbeza dalam rejimen terapi (intensiti, dos dan tempoh), model pemberian (kumpulan, satu-ke-satu, sukarelawan, difasilitasi komputer), dan pendekatan. Kami memerlukan lebih banyak maklumat mengenai perbandingan tersebut. Terapi yang berjam-jam dalam jangka masa yang singkat (intensiti tinggi) kelihatan boleh membantu penggunaan bahasa peserta dalam kehidupan seharian dan mengurangkan keparahan masalah afasia mereka. Namun, lebih banyak orang berhenti menghadiri rawatan intensif ini (sehingga 15 jam seminggu), berbanding dengan merekan yang mempunyai jadual terapi yang kurang intensif.
Kualiti bukti
Secara umum, kualiti kajian yang dijalankan dan dilaporkan boleh ditingkatkan. Ciri kualiti utama hanya dilaporkan oleh separuh daripada kajian-kajian baharu. Oleh itu, ia adalah tidak jelas sama ada ini merupakan hasil kajian yang tidak dijalankan dengan elok atau kajian yang tidak dilaporkan dengan elok. Sebilangan besar perbandingan yang kami buat akan bermanfaat dengan adanya lebih banyak kajian yang melibatkan lebih banyak orang dengan afasia.
Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my