Apakah isunya?
Tujuan ulasan ini adalah untuk menentukan manfaat dan kesan-kesan sampingan ubat-ubatan yang merendahkan tekanan darah (ubat antihipertensi) untuk wanita hamil yang mempunyai tekanan darah tinggi yang ringan ke sederhana. Tujuan lainnya ialah untuk menilai manfaat dan kesan-kesan sampingan ubat-ubatan ini kepada bayi-bayi.
Mengapa ini penting?
Semasa kehamilan, lebiha kurang satu dalam setiap 10 wanita mempunyai bacaan tekanan darah yang melebihi normal. Bagi sesetengah wanita, tekanan darah mereka berterusan lebih tinggi sedikit (dikenal sebagai ‘tekanan darah tinggi yang ringan hingga ke sederhana’), tanpa kejadian komplikasi yang ketara. Sesetengah wanita ini terus mengalami tekanan darah yang sangat tinggi Tekanan darah yang sangat tinggi boleh menyebabkan terjadinya situasi kecemasan jika ia menjejaskan organ-organ wanita tersebut (seperti hati, atau otak akibat strok). Ianya juga boleh memberi kesan serius ke atas tumbesaran dan kesihatan bayi berkenaan.
Ubat-ubatan yang merendahkan tekanan darah digunakan untuk merawat tekanan darah yang ringan hingga ke sederhana tinggi; dengan alasan bahawa rawatan ini akan mengelakkan tekanan darah ini daripada terus meningkat. Selama bertahun-tahun, maklumat daripada kajian-kajian penyelidikan yang berkualiti baik menunjukkan sebaliknya; yang demikian kami tidak dapat pastikan rawatan ubatan ini adalah berbaloi.
Apakah bukti yang kami temui?
Ulasan Cochrane ini merupakan kemaskini ulasan yang pertama kali diterbitkan dalam tahun 2001 dan dikemaskini dalam tahun 2007 dan 2014. Kami mencari kajian-kajian rawak terkawal dalam September 2017, dan kini ulasan ini merangkumi data daripada 58 kajian yang melibatkan lebih daripada 5900 wanita. Sejumlah 31 kajian yang melibatkan 3485 wanita membandingkan ubat-ubatan berlainan yang merendahkan tekanan darah kepada plasebo atau tanpa rawatan. Seterusnya terdapat 29 kajian yang melibatkan 2774 wanita yang membandingkan satu ubat yang merendahkan tekanan darah dengan ubat yang lain.
Bukti menunjukkan bahawa merawat wanita hamil yang mempunyai tekanan darah yang sederhana tinggi dengan ubat yang merendahkan tekanan darah berkemungkinan dapat mengurangkan bilangan wanita yang mengalami tekanan darah tinggi yang teruk kepada separuh (20 kajian, 2558 wanita). Walaupun begitu, ubat-ubatan yang merendahkan tekanan darah berkemungkinan memberikan sedikit atau tiada kesan langsung ke atas risiko kematian bayi (29 kajian, 3365 wanita); dan data yang ada tidak mencukupi untuk membuat penilaian samada risiko keatas kematian ibu dapat diturunkan (lima kajian, 525 wanita).
Penggunaan ubat-ubatan yang merendahkan tekanan darah mungkin memberikan sedikit atau tiada kesan langsung ke atas jumnlah wanita yang mendapat pre-eklampsia (23 kajian, 2851 wanita), atau jumlah wanita yang perlu menukar ubat kerana kesan-kesan sampingan (16 kajian, 1503 wanita).
Kami mendapati tiada perbezaan dalam bilangan bayi yang dilahirkan pramatang, iaitu sebelum 37 minggu (15 kajian, 2141 wanita). Juga tidak ada perbezaan dalam bilangan bayi yang dilahirkan kecil bagi umur gestasi mereka (21 kajian, 2686 bayi).
Kualiti bukti-bukti ini kebanyakannya adalah bertahap sederhana (tetapi untuk pre-eklampsia ianya adalah rendah). Ini adalah kerana kajian ini melibatkan bilangan sampel yang kecil, dan masalah dengan cara kajian dijalankan.
Bukti yang ada masih tidak mencukupi untuk menunjukkan adanya ubat antihipertensi yang lebih baik dari yang lain. Bagaimanapun, penyekat beta (‘beta blockers’) dan penyekat saluran kalsium (‘calcium channel blockers’) kelihatan lebih baik daripada ubat-ubatan lain untuk kawalan tekanan darah.
Apakah maksudnya?
Lebih banyak penyelidikan diperlukan bagi memastikan kesan sebenar ubat-ubatan antihipertensi keatas ibu-ibu dan bayi mereka, dan untuk mengenalpasti jenis ubat yang terbaik.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disuntingn oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.