Gel fluorida untuk mencegah karies gigi di kalangan kanak-kanak dan remaja

Soalan ulasan

Soalan utama adalah: Adakah penggunaan gel fluorida untuk mencegah kerosakan gigi dikalangan kanak-kanak dan remaja berkesan dan selamat berbanding plasebo (rawatan tanpa bahan aktif) atau tanpa rawatan?

Latarbelakang

Kerosakan gigi adalah masalah kesihatan yang ketara di serata dunia yang bukan hanya mempengaruhi ramai orang dewasa tetapi 60% hingga 90% kanak-kanak.Tahap kerosakan gigi berbeza dalam negara dan di antara negara tetapi secara umum kanak-kanak dalam kumpulan sosio-ekonomi rendah (diukur dengan pendapatan, pendidikan dan pekerjaan) menunjukkan lebih kerosakan gigi. Kerosakan gigi yang tidak dirawat menyebabkan kemusnahan gigi (korona) yang berterusan; dan sering diiringi dengan sakit yang teruk. Merawat dan menggantikan gigi yang rosak adalah mahal dari segi masa dan kos dan merupakan aliran utama sumber sistem penjagaan kesihatan.

Pencegahan kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak dan remaja dianggap satu keutamaan kerana ia dikatakan lebih kos efektif berbanding dengan rawatan pergigian. Penggunaan fluorida, suatu mineral untuk mencegah kerosakan gigi telah tersebar luas. Fluorida selain wujud secara semulajadi, boleh ditambah dalam bekalan air di sesetengah kawasan, dan lazim diguna dalam ubat gigi dan produk lain yang terdapat di serata dunia. Sebagai langkah pencegahan tambahan, terdapat pelbagai cara lain untuk mengaplikasi fluorida kepada gigi, misalnya ubat kumur mulut, lozeng, varnis dan gel.

Gel fluorida sering disapu oleh profesional pergigian, atau disapu sendiri dengan pengawasan (bergantung kepada umur kanak-kanak) dari sekali setahun hingga beberapa kali setahun. Gel biasanya diletak dalam ceper yang mana kanak-kanak atau remaja perlu kekalkan dalam mulut dengan menggigit untuk lebih kurang empat minit. Kadangkala kanak-kanak boleh tertelan sedikit gel; rasa kurang selesa, muntah, sakit kepala dan sakit perut ada dilaporkan apabila terlalu banyak ditelan. Oleh kerana risiko keracunan, rawatan gel fluorida tidak disyorkan secara umum untuk kanak-kanak di bawah umur enam tahun.

Ulasan ini adalah kemaskini ulasan Cochrane tentang gel fluorida untuk pencegahan kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang pertama kali diterbitkan pada 2002.Kami menilai kajian sedia ada untuk Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane, dan bukti adalah terkini sehingga 5 November 2014.

Ciri kajian

Kami memasukkan 28 kajian yang melibatkan lebih dari 9000 kanak-kanak (berumur 2 hingga 15 tahun) secara rawak kepada rawatan gel fluorida atau kumpulan terkawal yang diberi gel plasebo atau tiada menerima rawatan sama sekali. Jangkamasa kajian adalah dari 1 hingga 4 tahun (13 kajian mengambil masa sekitar 2 tahun)Laporan kajian diterbitkan di antara 1967 hingga 2005.Tiga belas kajian dijalankan di Amerika Syarikat, tujuh di Eropah, empat di Brazil dan setiap satu di Canada, Israel, China dan Venezuela).

Keputusan utama

Kemaskini ulasan ini mengesahkan gel fluorida dapat mengurangkan kerosakan gigi dalam kanak-kanak dan remaja. Kami menggabungkan keputusan 25 kajian dan mendapati secara purata 28% pengurangan kerosakan, kehilangan dan permukaan gigi yang ditampal (21% dalam kajian yang menggunakan gel plasebo untuk kumpulan terkawal dan 38% pengurangan dalam kajian yang mana kumpulan terkawal tidak menerima rawatan sama seklai) bagi kegigian kekal.Daripada tiga kajian yang melihat kesan gel fluorida ke atas gigi pertama atau gigi susu, bukti menunjukkan penggunaal gel fluorida menghasilkan 20% pengurangan kerosakan, kehilangan dan permukaan gigi yang ditampal. Kami menemukan hanya sedikit maklumat tentang kesan mudarat atau kesan yang tidak diingini atau bagaimana kanak-kanak dan remaja dapat menerima aplikasi gel tersebut.

Rumusan

Aplikasi gel fluorida menghasilkan pengurangan kerosakan gigi yang jelas dalam gigi kekal dan gigi susu. Kami menemukan sedikit maklumat tentang potensi kesan berbahaya atau kesan yang tidak diingini akibat tertelan gel secara tidak sengaja semasa rawatan. Oleh kerana kanak-kanak boleh tertelan gel semasa aplikasi, lebih kajian diperlukan tentang kesan-kesan ini.

Kualiti bukti

Bukti yang ada bagi gigi kekal adalah berkualiti sederhana. Bukti bagi gigi susu adalah berkualiti rendah kerana bilangan kecil kajian sedia ada. Bukti yang sedia ada untuk kesan sampingan adalah berkualiti rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College) Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hospital Sdn Bhd, JB) Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini,sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my.

Tools
Information