Adakah terdapat program berhenti merokok yang dapat membantu remaja berhenti merokok?

Latar belakang

Di seluruh dunia, antara 80,000 dan 100,000 orang muda mula merokok setiap hari. Banyak program tembakau remaja memberi tumpuan untuk mencegah remaja daripada mula merokok, tetapi beberapa program bertujuan membantu remaja yang telah merokok untuk berhenti merokok. Kami berusaha untuk menyiasat sama ada program ini dapat membantu golongan muda berhenti merokok selama enam bulan atau lebih. Carian adalah terkini sehingga Jun 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti 41 kajian (sekitar 13,000 peserta) yang mengkaji cara menolong remaja berhenti merokok. Kajian-kajian ini adalah berkualiti pelbagai dan melihat pelbagai kaedah untuk berhenti merokok, termasuk kaunseling satu-ke-satu, kaunseling sebagai sebahagian dari kumpulan, kaedah menggunakan komputer atau pesanan teks, atau gabungan daripada ini. Empat kajian menggunakan rawatan ubat seperti nikotin. Sebilangan besar kajian merekrut peserta dari sekolah, dan 29 kajian dilakukan di Amerika Utara.

Keputusan utama

Walaupun beberapa program menunjukkan potensi, terutama yang menggunakan kaunseling berkumpulan dan yang menggabungkan pelbagai pendekatan, tiada bukti yang kuat bahawa kaedah tertentu adalah berkesan dalam membantu orang muda untuk berhenti merokok. Kajian-kajian berbeza dalam cara mereka mengukur sama ada seseorang berhenti merokok, dan banyak kajian tidak mempunyai cukup peserta untuk kami menjadi yakin tentang penerapan hasil yang lebih luas. Ubat-ubatan seperti penggantian nikotin dan bupropion tidak menunjukkan kejayaan dengan remaja, dan beberapa kejadian buruk dilaporkan, walaupun kejadian ini secara umumnya ringan dan penemuan adalah berdasarkan kajian dengan sebilangan kecil peserta. Berdasarkan penemuan ini kami masih tidak dapat mengenal pasti program untuk membantu remaja berhenti merokok yang lebih berjaya daripada berusaha berhenti tanpa bantuan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah untuk semua hasil dalam ulasan ini. Ini kerana terdapat isu kualiti bagi beberapa kajian, bilangan kajian dan peserta yang kecil untuk beberapa hasil, dan perbezaan antara kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information