Akupunktur untuk strok akut

Soalan ulasan

Untuk menilai kesan dan keselamatan akupunktur untuk pemulihan selepas strok disebabkan oleh pembekuan darah atau pendarahan di dalam otak.

Latar belakang

Strok adalah penyakit yang dahsyat dengan morbiditi dan kematian yang tinggi. Akupunktur, salah satu terapi fizikal utama dalam Perubatan Tradisional Cina, telah digunakan secara meluas untuk merawat strok selama lebih dari ratusan tahun di China, tetapi bukti keberkesanannya dalam pemulihan strok adalah tidak konsisten.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data elektronik dan Pendaftaran Kajian Klinikal Cina sehingga Februari 2017, dan dua platform kajian klinikal (Platform Pendaftaran Kajian Klinikal Antarabangsa WHO dan Clinicaltrials.gov) sehingga April 2017. Kami melibatkan 33 kajian klinikal rawak (RCTs) dengan 3946 peserta dalam ulasan ini. Daripada jumlah ini, keputusan boleh didapati sehingga 22 kajian (2865 peserta) yang membandingkan akupunktur dengan sebarang kawalan tetapi hanya enam kajian (668 peserta) yang membandingkan akupunktur dengan prosedur akupunktur palsu.

Keputusan utama

Kesan akupunktur dalam mengurangkan kematian atau pergantungan atau peningkatan skor neurologi dan pergerakan pada akhir tempoh susulan, seperti yang dilihat dalam kajian membandingkan akupunktur dengan sebarang kawalan, tidak dilihat dalam kajian yang membandingkan akupunktur dengan kawalan yang lebih dipercayai terhadap akupunktur palsu. Kejadian buruk seperti sakit, pening, dan pengsan dilaporkan dalam 6.2% (64/1037) peserta, dan 1.4% (14) daripada peserta tersebut terpaksa menghentikan akupunktur.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah kerana risiko berat sebelah dalam kajian yang dimasukkan dan variasi dalam jenis dan tempoh akupunktur. Kajian penyelidikan tambahan besar yang lebih dipercayai diperlukan untuk meningkatkan kepercayaan terhadap kesan akupunktur untuk strok akut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information